Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Satu Lawan Satu di Stampin

By 28 April 2018Tiada komen1 minit bacaan

 

 Laporan : Genda Sating dan Voon Chia Yung
Foto : Cassidy Lisut (Kuching)

KUCHING, 28 April (Malaysiaaktif) – Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Parlimen Stampin menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), diwakili Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr. Sim Kui Hian menentang Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen.

Calon BN, Sim yang diiringi hampir 2000 penyokong tiba di pusat penamaan calon kira-kira 8.50 pagi dan menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.05 pagi.

Suasana hangat di luar pusat penamaan calon di Majlis Perbandaran Padawan.

Suasana hangat di luar pusat penamaan calon di Majlis Perbandaran Padawan.

Manakala calon DAP, Chong tiba pada pukul 8.55 pagi menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 9.02 pagi.

Pegawai Pengurus P.196 Stampin, Elizabeth Loh mengumumkan telah menerima dua kertas penamaan pencalonan daripada dua orang calon sebaik sahaja tempoh penghantaran borang penamaan calon yang bermula 9 hingga 10 pagi berakhir.

Parlimen Stampin merangkumi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N.12 Kota Sentosa, N.13 Batu Kitang dan N.14 Batu Kawah.

Pertembungan dua penjuru kali ini merupakan pertembungan menarik memandangkan kedua-dua calon merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di mana Sim merupakan ADUN Batu Kawah manakala Chong merupakan ADUN Kota Sentosa.

Pada PRU Ke-13, kerusi Parlimen Stampin dimenangi DAP menerusi Julian Tan Kok Ping, namun beliau tidak mempertahankan kerusi tersebut bagi memberi laluan kepada Chong yang bertukar dari Parlimen Bandar Kuching.

-SH

Tinggalkan komen anda