Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

KM Lulus RM8.6 Juta Bina Taman Islam

By 7 Mei 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto: Mohd Baharruddin Mohamad & Mahmut Sulaiman (Sarawak)

KUCHING, 7 Mei (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meluluskan peruntukan RM8.6 juta bagi pembinaan Taman Islam dalam kawasan Masjid Darul Hana.

Pembinaan Taman Islam berkenaan akan menjadi salah satu kemudahan kepada masyarakat Islam yang menggunakan Masjid Darul Hana untuk merakam gambar perkahwinan sejurus selepas upacara akad nikah dan sebagainya.

Menurut Abang Johari, Masjid Darul Hana menjadi antara masjid tumpuan dan sering dikunjung sama ada untuk beribadat mahupun upacara perkahwinan.

Johari (dua dari kanan) sambil disaksikan Morshidi ketika merasmikan projek Pembangunan Darul Hana Fasa 1, di sini semalam.

Johari (dua dari kanan) sambil disaksikan Morshidi ketika merasmikan projek Pembangunan Darul Hana Fasa 1, di sini semalam.

“Projek Pembangunan Darul Hana Fasa 1 yang melibatkan penduduk Kampung Pulo, Kampung Panglima Seman dan Kampung Semarang antara tiga daripada 12 kampung dari kawasan Seberang Hilir yang dipindahkan kepada Projek Pembangunan Darul Hana bermula tahun 2020.

“Apabila siap kelak penduduk akan berpindah ke rumah baharu tanpa perlu membayar apa-apa dan rumah tersebut adalah milik penduduk sepenuhnya,” katanya semasa lawatan kerjanya semalam.

Abang Johari amat berharap agar penduduk tidak menjual rumah yang diberikan kerajaan ini nanti.

“Kita bangunkan kawasan ini untuk semua kampung dan mengambil masa sekurang-kurangnya 15 hingga 20 tahun untuk siap sepenuhnya. Saya berharap penduduk yang mendapat rumah baharu ini nanti agar tidak menjualnya,” tambahnya.

Johari diberi penerangan kemajuan projek oleh wakil HDC.

Johari diberi penerangan kemajuan projek oleh wakil HDC.

Abang Johari turut menjelaskan pembangunan Darul Hana merupakan projek yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri di bawah kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) bagi mentransformasi perkampungan sepanjang Sungai Sarawak dari Kampung Boyan hingga ke Kampung Bintawa Hilir agar menjadi penempatan moden, teratur dan menarik.

“Projek berkeluasan lebih kurang 721 ekar ini melibatkan penempatan semula 12 buah kampung yang merangkumi 2,526 buah rumah, 4,278 buah keluarga dan melibatkan 16,655 orang penduduk.

“Projek ini juga merupakan projek kerjasama dengan pihak Lembaga Penyaruan dan Pemulihan Tanah (PELITA) dimana PELITA merupakan agensi pelaksana bagi komponen infrastruktur dan utiliti, manakala Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) sebagai agensi pelaksana bagi pembinaan rumah,” ujarnya lagi.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

-SH

Tinggalkan komen anda