Skip to main content
Berita TempatanHomePerakViral

Pakatan Harapan Perak Mohon Perkenan Menghadap Sultan

By 10 Mei 2018Tiada komen2 minit bacaan
Pengerusi Pakatan Harapan Perak Ahmad Faizal Azumu bersama Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming ketika sidang media khas Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Umum ke-14 hari ini.

 

IPOH, 10 Mei — Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak Ahmad Faizal  Azumu berkata PH akan memohon  menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bagi mendapatkan sembah nasihat mengenai penubuhan kerajaan negeri selepas  Pakatan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbanyak di Perak.

Pakatan menerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi 29 kerusi DUN, manakala Barisan Nasional (BN) 27 kerusi dan PAS tiga kerusi, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Lokasi pertemuan itu akan dimaklumkan kemudian, katanya.

“Kita akan dapatkan perkenan Sultan Perak untuk menghadap, dan seterusnya mendapat sembah nasihat dan perkenan untuk menubuhkan kerajaan negeri,” katanya pada sidang media khas di sini awal pagi ini.

Ketika ditanya bagaimana PH akan membentuk kerajaan negeri sedangkan ia tidak mendapat majoriti mudah, Ahmad Faizal berkata :”Perkara itu belum difikirkan.

“Ini akan dimaklumkan apabila kami diterima menghadap Sultan Perak, kami akan maklumkan”, katanya.

Ahmad Faizal juga mengharapkan peralihan kuasa daripada BN kepada PH akan dibuat secara berhemah dan segera bagi menjaga keharmonian Perak, jika PH berjaya membentuk kerajaan negeri.

Sementara itu,  beliau  berkata PH berterima kasih kepada rakyat Perak kerana memberi mandat kepada pakatan pada  PRU14, yang disifatkannya sebagai peristiwa yang sangat  bererti.

“Usaha kami telah berjaya untuk mendapatkan mandat daripada rakyat dan menerima kami. Amanah ini perlu kami pikul sebaik mungkin,” katanya.

 

Tinggalkan komen anda