Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Industri Sambut Baik Pelantikan Nurul Izzah Pengerusi TVET

By 29 Jun 2018Tiada komen3 minit bacaan
Penyerahan ikrar pelajar kepada Zainab.
Laporan dan foto: Fauzrina Bulka

KOTA KINABALU, 29 Jun (Malaysiaaktif) – Pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) baru-baru ini disambut baik oleh para pemain industri serta warga Politeknik Kota Kinabalu (PKK).

Menurut Ahli Jawatankuasa Penasihat Industri PKK, Ir. Nazri Ab Razak pemerkasaan TVET yang bakal dilakukan oleh jawatankuasa tersebut selari dengan usaha PKK yang memenuhi kehendak terkini di mana pelajar diajar mengenai teori dan teknikal.

Antara pelajar sesi Jun 2018 semasa bacaan ikrar.

Antara pelajar sesi Jun 2018 semasa bacaan ikrar.

“Berikutan itu, Politeknik perlu teruskan kerjasama dengan pemain industri yang sentiasa berubah mengikuti arus perkembangan terkini, dan ia perlu dikongsi kepada pelajar.

“TVET sememangnya harus sentiasa diteruskan dan mengikuti perkembangan agar sentiasa serasi dengan dunia luar kerana apabila pelajar menghadapi dunia mereka tidak akan ketinggalan dengan teknologi terkini,”katanya.

Nazri ditemui oleh Malaysiaaktif selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu Sesi Jun 2018 di Dewan Rafflesia, PKK di sini.

Menurutnya , sejajar dengan aspirasi dan visi Transformasi, tumpuan khusus akan diberikan kepada Revolusi Industri 4.0, dalam usaha mewujudkan pekerja mahir yang berdaya saing di peringkat global.

“Negara kita memerlukan modal insan terbaik bagi mendukung pembangunan industri dan penguasaan teknologi untuk mengelakkan kebergantungan secara sepenuhnya terhadap teknologi dan kemahiran dari negara lain.

“Kepakaran amatlah diperlukan dari semasa ke semasa bagi membentuk sesuatu organisasi yang berjaya.

Bergambar kenangan bersama pelajar baharu sesi Jun 2018.

Bergambar kenangan bersama pelajar baharu sesi Jun 2018.

“Justeru, institusi TVET seperti PKK ini landasan terbaik dan memainkan peranan penting di dalam kerangka pembangunan negara, bagi meningkatkan jumlah tenaga kerja mahir dalam hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju,”jelasnya.

Dalam pada itu, Pengarah PKK, Zainab Othman berbangga kerana pengambilan Sesi Jun 2018 kali ini, seramai 893 pelajar yang telah mendaftar sebagai pelajar baharu Politeknik Kota Kinabalu.

“Saya difahamkan terdapat peningkatan bilangan pelajar sebanyak 8 peratus daripada norma bilangan pelajar PKK untuk sesi Jun iaitu seramai 835 pelajar.

“Justeru itu, diharapkan agar para pelajar menggunakan ruang dan peluang ini untuk mengembangkan bakat dan menambah nilai diri agar modal insan yang bakal dilahirkan adalah yang cemerlang bukan sahaja dari segi akademiknya, bahkan juga dari aspek sahsiah dan kokurikulumnya,” ujarnya.

Tambah Zainab, Kesemua program yang ditawarkan di PKK telah menerima akreditasi penuh dari Malaysian Qualification Agency (MQA).

“Ini membuktikan bahawa kualiti proses pengajaran dan pembelajaran akan sentiasa dipantau bagi memastikan ia menepati tahap yang ditetapkan seterusnya melahirkan graduan yang boleh berdaya saing dan memenuhi keperluan industri,”katanya.

Menurutnya juga, telah banyak kejayaan yang digarap oleh warga PKK di pelbagai peringkat dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

“Bagi enam bulan pertama tahun ini, banyak kejayaan manis yang di kecapi oleh para pelajar dan pensyarah PKK terutama di peringkat antarabangsa dan kebangsaan.

“Dari segi kebolehpasaran graduan, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia menetapkan sasaran 90 peratus graduan memperoleh pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan selepas tempoh enam bulan tamat pengajian.

“Politeknik Kota Kinabalu juga berjaya melepasi sasaran tersebut bagi graduan Sesi Jun 2017 iaitu pada 94.72 peratus.

“Saya yakin momentum ini akan terus meningkat pada masa akan datang dan seterusnya usaha mencapai visi PKK untuk menjadi institusi TVET yang unggul di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menjelang tahun 2020 akan menjadi realiti,”katanya.

Tinggalkan komen anda