Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Mesyuarat Pertama Sidang DUN Sarawak Berjalan Lancar

By 9 Julai 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad / Mahmud Sulaiman (Sarawak)

KUCHING, 9 Jul (Malaysiaaktif) – Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-18 yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Foyer, Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUNS) pagi tadi, berjalan lancar.

Abdul Taib dalam ucapan dasarnya mengucapkan tahniah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh, mentadbir kerajaan setelah diberi mandat oleh rakyat untuk menerajui kepimpinan dan pentadbiran di Malaysia.

Taib Mahmud memeriksa Kawalan Kehormat Utama sempena Mesyuarat Pertama Sidang DUN, di sini.

Taib Mahmud memeriksa Kawalan Kehormat Utama sempena Mesyuarat Pertama Sidang DUN, di sini.

“Saya yakin dengan pengelaman beliau yang luas dalam bidang ekonomi, politik dan sosial, Malaysia akan terus maju dan makmur kearah Wawasan 2020. Saya juga yakin di bawah kepimpinan beliau, Kerajaan Persekutuan akan terus melaksanakan program dan projek pembangunan di Negeri Sarawak demi kesejahteraan rakyat,” ucapnya.

Abdul Taib turut berharap dengan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Kerajaan Pakatan Harapan maka negara akan terus mandapat manfaat dalam aspek kemajuan dan kemakmuran.

“Diharap juga, hubungan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan dapat dipertingkatkan dan diperkukuhkan agar segala perjalanan urusan pentadbiran negeri akan berjalan dengan lancar dan sempurna.

“Saya percaya rakyat di Negeri Sarawak meletakkan harapan yang amat tinggi terhadap Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan pembangunan di Negeri Sarawak. Segala janji dalam Manifesto Pilihan Raya Umum yang keempat Belas hendaklah dilaksanakan dengan baik dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya lagi.

Terdahulu, Abdul Taib menghadiri Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormat oleh Batalion 11,  Pasukan Gerakan Am Batu Kawa Kuching diketuai oleh Pembawa Panji, Inspektor Tommy Nyaon.

Mesyuarat Pertama bagi Penggal Ketiga  Persidangan DUN Ke -18 yang berlangsung mulai hari ini akan berakhir pada 18 Julai.

– SH

 

Tinggalkan komen anda