Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Hospital Tuaran Sedia Locker4u, Mudahkan Pesakit Dapatkan Bekalan Ubat

By 11 Julai 2018Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan oleh:Fauzrina Bulka/Foto: Azman Jumat(Sabah)

 

TUARAN, 11 Jul (Malaysiaaktif) – Pesakit yang memerlukan ubat secara berkala di Hospital Tuaran kini tidak perlu lagi beratur di farmasi untuk mendapatkan ubat kerana telah disediakan perkhidmatan Locker4u kepada mereka.

Locker4u adalah satu sistem di mana semua ubat susulan yang diperlukan setiap pesakit akan diletakkan dalam loker khas yang disediakan dan boleh diambil selepas waktu bekerja.

Stephen Wong

Stephen Wong

Menurut Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Stephen Wong Tien Fatt, Locker4u merupakan yang pertama penggunaannya di Sabah yang dikelolakan oleh unit farmasi hospital.

“Pihak hospital akan memberi pesakit yang berdaftar kunci untuk mereka membuka loker berkenaan tanpa perlu beratur panjang di farmasi, dan kunci tersebut hanya dimilik pesakit dan pihak hospital.

Antara kakitangan yang hadir mendengar taklimat

Antara kakitangan yang hadir mendengar taklimat

“Melaluinya juga dapat memastikan kepatuhan kepada rawatan ubat yang diberikan dan perkhidmatan ini ditawarkan kepada pesakit yang menerima rawatan di hospital ini serta menerima perskripsi jangka masa panjang dengan syarat-syarat tertentu,”jelasnya.

Tambahnya juga, pesakit yang layak menerima perkhidmatan ini adalah pesakit yang memahami terapi perubatan sendiri, stabil, memahami cara pengambilan ubat yang betul dan mempunyai dua atau lebih jenis ubat.

“Saya amat berharap agar perkhidmatan ini digunapakai oleh semua pesakit yang memerlukannya.

Bergambar kenangan bersama kakitangan hospital

Bergambar kenangan bersama kakitangan hospital

“Pihak hospital akan menambah bilangan loker yang sedia ada sekiranya mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pesakit untuk menggunakan perkhidmatan itu.

“Setakat ini terdapat 100 loker telah disediakan dan saya berharap bilangan tersebut akan bertambah dari semasa ke semasa.

“Masa pengambilan ubat tersebut adalah setiap hari termasuk cuti umum iaitu dari pukul 6 pagi hingga 10 malam,”katanya.

Stephen ditemui dalam Lawatan kerjanya ke Hospital Tuaran siang tadi. Beliau juga turut merasmikan Taman Herba Fasa 3 dan berkesempatan menanam Pokok Kenangan.

Stephen berkesempatan menanam Pokok Kenangan di Taman Herba

Stephen berkesempatan menanam Pokok Kenangan di Taman Herba

Dalam pada itu, salah seorang pesakit, Juri Mustapa, 50 gembira dengan perkhidmatan Locker4u kerana memudahkan dirinya untuk mendapatkan bekalan ubat setiap bulan.

“Saya bertugas di Lembaga Industri Getah Sabah cawangan Tuaran dan selama ini terpaksa mendapatkan bekalan pada waktu bekerja.

Juri Mustapa

Juri Mustapa

“Dengan keadaan jalan yang agak sesak untuk datang ke sini pada saya tidak akan saya hadapi lagi dengan adanya Locker4u kerana saya boleh datang pada bila-bila masa sahaja,”ujarnya yang mula mendapatkan rawatan semenjak 2013.

Sepasang suami isteri yang juga perlu mendapatkan bekalan setiap bulan iaitu Mojinin Duyan, 51 dan isterinya Ahilina Balintok, 50 turut berterima kasih kerana pihak hospital mendengar keluhan mereka.

Pasangan tersebut yang perlu mendapatkan bekalan ubat untuk penyakit darah tinggi dan kolesterol berkata masalah waktu kerja yang tidak menentu menyukarkannya untuk mengambil bekalan.

Mojinin Duyan

Mojinin Duyan

“Ditambah lagi kesukaran parkir pada waktu puncak agak menyukarkan kami yang sudah berusia, jadi dengan wujudnya Locker4u ini memang banyak membantu kami,”katanya yang berasal dari Kota Belud.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Cristina Rundi; Pengarah Hospital Tuaran, Dr. G. Mohan A/L Gopal Naidoo dan Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat, Chua Sien Kian.

 

 

-MRR

Tinggalkan komen anda