Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuanWilayah Persekutuan

Rekod Kelupis Terpanjang Tercipta Lagi

By 16 Julai 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : M. Khairul Azad Yunus / Roziman Mahmudin / Iswandy Ismail

LABUAN, 16 Jul ( Malaysiaaktif) – Rekod jalinan kelupis terpanjang berjaya dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) oleh 35 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sungai Miri/Pagar, di sini semalam.

Menurut Pengerusi KRT Kampung Sungai Miri/Pagar, Rasibah Wan Imang, kerjasama seramai 2 ribu ahli KRT seluruh Labuan dan penduduk kampung berjaya merealisasikan sasaran untuk diiktiraf dalam MBOR.

“Kami sangat berpuas hati dengan pencapaian pada hari ini kerana berjaya mencatat rekod jalinan kelupis terpanjang di Malaysia.

Petugas menyediakan kelupis secara bergotong-royong sempena Program Fiesta Makanan Perpaduan dan Ekspo Industri Negeri Sendiri Rukun Tetangga 2018, di sini semalam.

Petugas menyediakan kelupis secara bergotong-royong sempena Program Fiesta Makanan Perpaduan dan Ekspo Industri Negeri Sendiri Rukun Tetangga 2018, di sini semalam.

“Kerjasama yang ditunjukkan bukan sahaja berjaya memadam rekod lama tapi berjaya melebihi sasaran awal kami iaitu sepanjang 720 meter,” katanya yang turut berharap program tersebut dapat diteruskan pada masa hadapan sekaligus memadam rekod yang tercatat pada hari itu.

Rasibah turut berkongsi cabaran menyediakan kelupis terpanjang di Malaysia dengan menggunakan 100 peratus bahan asli.

“Semua kelupis hari ini kami proses mengikut cara lama dan bahan-bahan termasuk santan kami proses sendiri daripada kira-kira 600 biji kelapa. Hampir 600 kilogram beras pulut dan 30 ribu helai daun nyirik digunakan untuk menghasilkan kelupis pada hari ini,” ujarnya lagi.

Cabaran merebus kelupis dalam enam kawah besar turut dikongsi Setiausaha JKK Kampung Sungai Miri/Pagar, Md Yakop Ramlee yang turut bersengkang mata menyediakan kelupis terpanjang di Malaysia itu.

“Menyediakan kelupis terpanjang ini memang mencabar kerana memerlukan seramai 30 orang untuk merebus kelupis secara berterusan selama 20 jam.

“Kami juga terpaksa mendapatkan bekalan daun nyirik dari luar Labuan iaitu di Limbang, Sarawak dan Sipitang di Sabah kerana bekalan daun itu di sini memang tidak mencukupi untuk menghasilkan kelupis sebanyak itu,” jelasnya.

Sebanyak 22,500 biji kelupis sepanjang 826.75 meter berjaya dihasilkan.

Sebanyak 22,500 biji kelupis sepanjang 826.75 meter berjaya dihasilkan.

Yakop melahirkan rasa syukur dengan hasil kerjasama dan penat lelah semua pihak akhirnya sasaran mereka mencipta rekod Malaysia menjadi kenyataan serta tidak teragak-agak untuk turut serta dalam usaha untuk memecah rekod tersebut pada masa hadapan.

Bagi Ketua Kampung Sg. Miri/Pagar, Tajuddin Umar, kejayaan tersebut adalah satu kebanggaan bagi semua penduduk kampung dan ahli KRT di Labuan.

“Saya merasa amat gembira apabila apa yang dirancang sekian lama akhirnya tercapai pada hari ini. Sebagai Ketua Kampung, saya amat berbesar hati apabila kampung kami dipilih menjadi tuan rumah untuk mencatat sejarah ini,” ucapnya.

Rekod jalinan kelupis terpanjang di Malaysia yang disahkan oleh wakil MBOR itu adalah pengisian utama dalam Program Fiesta Makanan Perpaduan dan Ekspo Industri Negeri Sendiri Rukun Tetangga 2018 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN), KRT Sg Miri/Pagar dan gabungan KRT Labuan, yang berlangsung semalam.

Rekod jalinan kelupis sebanyak 22,500 biji, sepanjang 826.75 meter itu berjaya mengatasi rekod lama sepanjang 600 meter yang juga dicatat di Labuan pada tahun 2012.

– SH

Tinggalkan komen anda