Skip to main content
HomeSabah

Republik Czech Anjur Misi Perniagaan ke Prague

By 8 Ogos 2018Tiada komen1 minit bacaan
         Laporan oleh: Asmidar Zainol/ Foto: Johnny Kimlon(Sabah)
Kota Kinabalu, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – Kedutaan Kerajaan Czech ke Malaysia di Kuala Lumpur dengan kerjasama Pejabat Konsulat di Kota Kinabalu akan menganjurkan Misi Perniagaan pada September nanti.
Menurut Duta Besar Republik Czech ke Malaysia, Rudolf Hykl, ahli-ahli perniagaan tempatan akan dibawa ke Prague bagi mendapat peluang perniagaan dan seterusnya memperkukuhkan hubungan Czech dengan kerajaan negeri Sabah.
“Antara bidang yang akan diberi perhatian ialah Kejuruteraan Sivil dan Industri Pembinaan, di samping membuka peluang kerjasama rakan niaga serta menawarkan perkongsian pengalaman dalam amalan pengawalseliaan dalam bidang pengangkutan awam, projek infrastruktur, tenaga hidro, teknologi pertanian, industri pemprosesan makanan, rawatan air dan sebagainya.
“Selain itu, bersempena dengan sambutan penubuhan Czechoslovakia yang ke 100 pada tahun ini, kami akan menganjurkan tayangan awam di negeri ini bagi memperkenalkan budaya serta sejarah republik  Czech pada bulan depan,”katanya.
Hykl yang dilantik sebagai duta besar negara itu ke Malaysia sejak 2014 mengadakan pertemuan selama sejam setengah bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, pada Isnin.
Shafie dan Hykl antara lain membincangkan usaha mengukuhkan hubungan dua hala antara Sabah dan Republik Czech khususnya dalam bidang pelaburan di kedua-dua negara.
-MRR

Tinggalkan komen anda