Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeNegeri Sembilan

Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sembilan

By 8 Ogos 2018Tiada komen2 minit bacaan
Laporan: Daniel Jong (Seremban)                             Foto: Mohd Khairulnizam Yunus

SEREMBAN, 8 Ogos (Malaysiaaktif) – Rakyat di negeri ini diseru untuk mengibarkan Jalur Gemilang bagi menunjukkan manifestasi kecintaan rakyat kepada negara ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini memberikan makna yang amat mendalam kerana pertama kali di dalam sejarah Malaysia, kepimpinan kerajaan bertukar.

Aminuddin Harun ketika merasmikan Pusat Maklumat Rakyat (PMR) bergerak.

Aminuddin Harun ketika merasmikan Pusat Maklumat Rakyat (PMR) bergerak.

Pada Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sembilan itu semalam, Aminuddin turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan memansuhkan kategori parti politik dalam perbarisan seperti kelaziman dahulu bagi meraikan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Kali ini, kita mahu Hari Kebangsaan disambut oleh rakyat Malaysia tanpa perbezaan fahaman politik”.

Pada majlis yang sama, Aminuddin turut merasmikan Pusat Maklumat Rakyat (PMR) Bergerak yang diusahakan oleh Pejabat Penerangan Daerah Seremban. PMR Bergerak ini menawarkan perkhidmatan potret pemimpin negara dan negeri di samping turut mengedarkan risalah bermaklumat kepada orang awam. Turut hadir adalah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik.

Tambah Aminuddin lagi, kerajaan negeri juga bersetuju untuk menambah nilai hadiah perbarisan Hari Kebangsaan dengan johan menerima RM5,000, naib johan (RM4,000) dan tempat ketiga (RM 3,000). Katanya lagi, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Penerangan dan SWCorp juga menganjurkan Pertandingan Kibar Jalur Gemilang yang menawarkan hadiah wang tunai dan piala pusingan dengan tarikh tutup penyertaan pada 15 Ogos ini.

Tarikh penilaian bagi pertandingan tersebut bermula dari 16 hingga 23 Ogos depan dengan 12 kategori dipertandingkan iaitu bangunan kerajaan, bangunan swasta, kampung, sekolah, tabika, taman perumahan, kediaman individu, pintu gerbang, anjung komuniti, rumah ibadat dan kenderaan. Sebelum majlis itu, Aminuddin telah meluangkan masa hampir sejam menaiki komuter dari Stesen Batang Benar di Nilai ke Stesen Seremban di sini, bagi mengedarkan Jalur Gemilang sambil beramah mesra dengan para penumpang.WhatsApp Image 2018-08-08 at 8.17.13 AM

Beliau kemudian turut melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018 membabitkan 30 kenderaan dengan 90 peserta daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai oleh Jabatan Penerangan.

-KN

Tinggalkan komen anda