Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

PRK Seri Setia dan Balakong Ditetapkan 8 September

By 9 Ogos 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32, Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan N.27 DUN Balakong akan dijalankan secara serentak pada 8 September ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood, menjelaskan hari penamaan calon adalah pada 18 Ogos manakala hari mengundi awal adalah pada 4 September.

“Keputusan menjalankan PRK ini secara serentak kerana ia memberi kemudahan kepada petugas SPR, persediaan dari segi logistic dan keselamatan oleh pihak polis,” katanya selepas sidang media di pejabat SPR, di sini semalam.

Othman menjelaskan SPR turut melakukan penambahbaikan dalam PRK kali ini di mana tambahan dua saluran khusus bagi pengundi berusia 60 tahun ke atas akan dilakukan serta penambahan saluran mengundi.

“Sebanyak 115 saluran akan disediakan berbanding hanya 91 saluran pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu dan penambahan kepada tiga petak undi berbanding dua sebelum ini di dalam bilik di pusat mengundi.

“SPR turut memperuntukan sebanyak RM1.59 juta bagi melaksanakan PRK ini dengan penglibatan seramai 895 petugas di 18 buah pusat mengundi,” tambahnya.

Othman turut mengumumkan pelantikan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain sebagai Pegawai Pengurus PRK DUN Seri Setia dan Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya dijadikan pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi rasmi.

PRK DUN Seri Setia diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya, Allahyarham Dr. Shaharuddin Badaruddin 2 Ogos lalu akibat kanser usus manakala PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu. PRK

Tinggalkan komen anda