Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeTerengganu

KMJG Mula Kunjungi Penduduk Terengganu Jumaat ini

By 9 Ogos 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Shuhaimi Ahmad (Kuala Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) anjuran jabatan Penerangan Malaysia akan mula berada di Terengganu Jumaat ini dalam misi mereka memberi kesedaran kepada orang ramai supaya mengibarkan Jalur Gemilang di setiap destinasi yang mereka kunjungi.

Pelbagai aktiviti menarik telahpun dirancang sempena kunjungan KMJG di sini selama dua hari antaranya adalah program Merdeka@Komuniti, Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan dan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan.

Pekerja Majlis Bandaraya Kuala Terengganu memasang Jalur Gemilang sempena persiapan menyambut peserta konvoi KMJG yang bakal tiba esok.

Pekerja Majlis Bandaraya Kuala Terengganu memasang Jalur Gemilang sempena persiapan menyambut peserta konvoi KMJG yang bakal tiba esok.

Pengarahnya, Swady Guliling, berkata pelbagai pengisian menarik disediakan pada program KMJG di sini bagi meraikan kedatangan 133 peserta termasuk petugas media membabitkan 60 kenderaan seperti motosikal berkuasa tinggi dan kenderaan jabatan serta agensi kerajaan.

“Pada persinggahan pertama iaitu  di Pasar Tani Kuala Besut, peserta KMGJ akan mengagihkan Jalur Gemilang kepada orang ramai di tapak pasar tani itu, sebelum bergerak ke Masjid Saujana Setiu untuk sambutan peringkat daerah Setiu.

“Turut disajikan sempena program tersebut adalah acara sukaneka, pemeriksaan kesihatan percuma, tazkirah kemerdekaan dan pertunjukkan memanah oleh 14 guru agama yang mengenakan pakaian pahlawan Islam masa silam,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.

Pada sebelah petangnya konvoi KMJG 2018 akan berada di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu untuk acara sambutan peringkat negeri yang akan disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk A.Rahman Yahya mewakili Menteri Besar Terengganu.

Hari kedua konvoi, KMJG akan singgah sebentar di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun untuk bersama-sama pelajar menggelorakan sambutan Hari Kebangsaan 2018 di situ sebelum mengakhiri kembara di Masjid Geliga, Chukai, Kemaman.

“Dalam program Merdeka@Komuniti, jabatan Penerangan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti jabatan kerajaan, komuniti setempat, institut pengajian tinggi awam dan swasta dan sekolah akan mengadakan pelbagai acara seperti agihan Jalur Gemilang, deklamasi puisi, sketsa kenegaraan, pertandingan kuiz, pameran dan aktiviti lain yang menjurus kepada rasa cinta kepada negara.

“Program yang membabitkan semua masyarakat tanpa mengira usia, kaum dan fahaman politik bertujuan menyemarak serta menggelorakan semangat kemerdekaan yang sedang kita kecapi,” tambahnya.

-SH

Tinggalkan komen anda