Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Di Sebalik Tembakan Lensa Kamera

By 16 Ogos 2018Tiada komen4 minit bacaan

Laporan oleh: Fauzrina Bulka/Foto: Unit Jurufoto JaPen(Sabah)

 KOTA KINABALU, 16 Ogos(Malaysiaaktif) – Tidak lengkap sebuah artikel tanpa foto-foto yang dikepil bersama, begitu juga foto yang cantik, tidak semua mampu tafsirkan keseluruhan peristiwa, tanpa ada artikel untuk dibaca.

 Namun siapa sangka, merakam foto yang sempurna rupa-rupanya tidak mudah, melihat kerja di sebalik tabir ketika menyertai juru foto Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah mengendalikan sesi foto bersama Ketua Menteri dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri ternyata memberi satu pengalaman baharu.

 Menurut Ketua Unit Juru foto, Volintine Jiloh, cabaran yang perlu dihadapi oleh seorang juru foto bukan hanya menguasai teknik fotografi, tetapi juga perlu tahu cara berinteraksi dan berkomunikasi dengan baik.

Volintine (dua dari kiri) bersama jurufoto yang lain ketika sesi foto bersama Shafie( tiga dari kanan)

Volintine (dua dari kiri) bersama jurufoto yang lain ketika sesi foto bersama Shafie( tiga dari kanan)

 “Komunikasi itu penting apatah lagi bila berhadapan dengan tugas yang melibatkan model, seperti tugasan selama dua hari ini, kami perlu merakamkan barisan kabinet negeri Sabah.

 “Komunikasi yang berkesan dapat membangkitkan perasaan ceria agar foto yang terhasil dapat menggambarkan barisan kepimpinan negeri yang tampak tegas tetapi mesra dan ceria di mata rakyat,”jelasnya yang telah 18 tahun berkhidmat sebagai juru foto JaPen.

 

Kelihatan seorang jurufoto sedang mengemaskan pakaian Stephen Wong.

Kelihatan seorang jurufoto sedang mengemaskan pakaian Stephen Wong.

Bukan sekadar komunikasi, juru foto juga perlu memastikan barisan kepimpinan mengenakan pakaian dengan kemas, rambut di sikat rapi, senyuman yang manis dengan raut wajah yang segar untuk menyerlahkan lagi imej positif mereka.

 Tambah Volintine, selain mengendalikan acara kunjungan hormat, Unit Juru foto JaPen bertanggungjawab sepenuhnya merakamkan semua acara yang berlaku di Istana Negeri dan seluruh negeri yang melibatkan TYT dan Toh Puan.

Shaiful Nizal Ismail (kanan) dan Fuad Abdullah (dua dari kanan) yang bertanggungjawab merakam potret Perdana Menteri turut serta membantu dalam sesi foto ini.

Shaiful Nizal Ismail (kanan) dan Fuad Abdullah (dua dari kanan) yang bertanggungjawab merakam potret Perdana Menteri turut serta membantu dalam sesi foto ini.

 “Oleh sebab itu, kami perlu menguasai kemahiran protokol, kerana sebagai juru foto rasmi kerajaan sudah tentu melibatkan peradaban ketika mengambil gambar pembesar negeri juga tetamu dari negara luar.

 “Apa yang pasti, mereka ini lah yang bertanggungjawab merakamkan foto yang bakal menjadi sejarah di kemudian hari, kerana fizikal sesuatu tempat itu sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa dan tuntutan kemajuan,”katanya.

Norzawiyah (kanan) sedang meneliti poster Perdana Menteri di Pusat Maklumat Rakyat

Norzawiyah (kanan) sedang meneliti poster Perdana Menteri di Pusat Maklumat Rakyat

 Dalam pada itu, Pengarah JaPen Sabah, Norzawiyah Bulka berbangga kerana kakitangan JaPen khususnya juru foto memainkan peranan besar dalam merakamkan peristiwa-peristiwa penting sebagai simpanan di dalam Pusat Sumber dan Fotografi JaPen untuk di jadikan sumber rujukan orang ramai.

“Juru foto JaPen mempunyai skop tugas yang luas, tidak hanya merakamkan gambar potret, tetapi termasuklah foto landskap, pembangunan infrastruktur, bencana alam, hidupan liar serta flora dan fauna.

 “Mereka ini juga yang bertanggungjawab merakam foto Yang Di Pertuan Agong dan Perdana Menteri serta ahli-ahli kabinet di seluruh negara, dan hasilnya nanti akan dicetak dan dijadikan poster, sebagai edaran umum termasuklah kepada jabatan-jabatan kerajaan serta agensi-agensi swasta.

5 “Apa yang lebih menarik, Juru foto kami dapat merakamkan pelbagai sudut peristiwa, dan secara tidak langsung membantu agar memori yang terakam sentiasa segar sepanjang zaman,”katanya.

 Menurutnya juga, terdapat beribu-ribu foto dalam simpanan Pusat Sumber JaPen meliputi foto pembangunan Sabah bermula dari hujung 1950an, foto kepimpinan negara serta peristiwa-peristiwa penting yang tersedia dalam bentuk negatif hitam putih dan berwarna serta slaid manakala yang berbentuk digital pula hanya bermula pada tahun 2008.

 “Pada yang ingin melayari foto secara atas talian boleh juga mengunjungi My1foto, iaitu sebuah portal yang telah dibangunkan pada 2013 khusus untuk penyimpanan, pemuliharaan dan pencarian semula berkaitan acara rasmi kerajaan yang dirakam mulai tahun 1948 di seluruh negara.8

 “Manakala pada yang berminat untuk mendapatkan foto-foto tersebut secara luar talian, hanya perlu berkunjung ke Wisma Dang Bandang dengan membawa surat permohonan rasmi dan kami akan memberikan foto yang dinginkan secara percuma,”jelas Norzawiyah.

 Beliau juga dapat melihat kini peranan JaPen lebih ke hadapan kerana semakin banyak pihak-pihak yang memerlukan bantuan. Tidak hanya dalam pemasangan Alat Siar Raya tetapi juga khidmat Juru Acara, Penceramah, Pemberita malahan hiburan bermaklumat, Penerangan Melalui Nyanyian, Tarian dan Drama (PENTARAMA).

 “Dalam menempuhi arus perkembangan terkini, saya menggalakkan anggota Jabatan Penerangan agar lebih kreatif dan tidak terkongkong dengan kerja hakiki masing-masing, serta mampu melakukan pelbagai tugas demi melahirkan anggota yang berkualiti tinggi.

 “Kakitangan juga digalakkan untuk menyerlahkan bakat di dalam bidang yang di minati sama ada sukan atau penulisan dengan harapan dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,”ujarnya.

 _SRS5672Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peranan juru foto sangat penting, bukan hanya merakamkan sejarah, tetapi juga untuk memperingatkan tentang bagaimana kejadian atau peristiwa yang berlaku ketika itu. 

 “Banyak daripada bahan-bahan sejarah itu hasil daripada gambar-gambar seperti gambar pembentukan Malaysia di Dataran Merdeka sehingga sekarang menjadi ingatan semua rakyat Malaysia dan yang menghasilkannya ialah jurugambar.

 “Jurugambar juga yang melakar sejarah. Hari ini saya selaku Ketua Menteri dalam Persidangan Dewan Undangan dan buat pertama kalinya akan membentangkan belanjawan dan ini merupakan sejarah untuk rujukan masa hadapan,” katanya.  

  • FHB / MRR

Tinggalkan komen anda