Skip to main content
Berita TempatanHomeSabahViral

Bunyikan Hon Tanda Sokongan, Tingkatkan Semangat Pengayuh Solo

By 29 Ogos 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan oleh: Fauzrina Bulka/ Foto: Azman Jumat(Sabah)

 

KOTA BELUD, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Hampir sahaja dia beralah ketika terik matahari mula menggamit seawal 10 pagi, kaki pula sudah mula terasa kejang, namun bunyian hon daripada pengguna jalanraya meningkatkan semula semangatnya.

Perjalanan sejauh 211km selama tiga hari bermula dari Kudat pada Selasa hingga Kota Kinabalu menjadi cabaran untuk Richard Ansin Odiak,61 mengayuh basikalnya secara solo sebagai aspirasi menyatakan semangat patriotiknya kepada negara.

Richard Ansin Odiak

Richard Ansin Odiak

“Saya sudah menanamkan niat untuk menjayakan program ini semenjak awal tahun lagi, salah satu matlamat saya mahu menjadi inspirasi kepada generasi baru.

“Kalau warga emas boleh lakukan perkara seumpama ini, warga baharu pula bagaimana? Pasti mereka boleh lakukan lebih daripada itu.

“Sebagai warganegara Malaysia terutama sekali mantan pegawai Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah yang sinonim dengan tugas menyemarakkan Hari Kebangsaan, saya terpanggil untuk membantu jabatan merealisasikan matlamat meningkatkan semangat patriotisme,”ujarnya yang telah 38 tahun berkhidmat bersama JaPen.

Pelepasan di Kudat disempurnakan oleh Sapdin.

Pelepasan di Kudat disempurnakan oleh Sapdin.

Menurutnya, menjaga pemakanan di usia emas sangat penting, sudah lebih 20 tahun dia meninggalkan gaya hidup tidak sihat seperti merokok serta minum minuman keras.

“Apabila ingin makan, saya akan pastikan 50 peratus dari saiz hidangan adalah sayuran dan selebihnya protein dan sedikit karbo.

“Sebelum berbasikal dan hanya aktif di gym dengan menjaga pengambilan protein, berat saya ialah 71kg, selepas beralih sukan berbasikal dan masih aktif di gym, berat saya turun 10kg dan stamina pula lebih baik.

Pelepasan di Kota Marudu oleh Hamdan(hadapan) sambil disaksikan oleh Durahim(empat dari kanan).

Pelepasan di Kota Marudu oleh Hamdan(hadapan) sambil disaksikan oleh Durahim(empat dari kanan).

“Saya sedari, tahap kesihatan saya setakat ini selama dua tahun tidak pernah jatuh sakit,”ujarnya ketika ditemui di Dataran Kota Belud pagi tadi bagi memulakan hari ke dua Misi Berbasikal Solo.

Pelepasan misi yang bertempat di Pejabat Urusetia daerah Kudat pada hari pertama telah di sempurnakan oleh Pegawai Daerah, Sapdin Ibrahim serta Pegawai Penerangan Daerah, Nadia M. Lawaji Babeth.

Richard mengayuh menuju Kota Belud sambil diiringi kenderaan JaPen.

Richard mengayuh menuju Kota Belud sambil diiringi kenderaan JaPen.

Manakala pelepasan kedua di Kota Marudu pula disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Daerah, Hamdan Sarudin bersama Pegawai Penerangan Daerah, Sharif Ahmad Shah Sh. Mundui.

Mengulas lanjut menurut Richard, ada beberapa cabaran yang diramal akan dihadapinya bagi menyelesaikan misi tersebut dan sebahagiannya sudah dirasai pagi semalam dalam perjalanan dari Kudat ke tapak pelepasan ke dua di Kota Marudu.

Richard menyerahkan bendera kepada Saidi(Lima dari kanan) sebelum pelepasan di Kota Belud disaksikan oleh Abdul Gari(tujuh dari kanan).

Richard menyerahkan bendera kepada Saidi(Lima dari kanan) sebelum pelepasan di Kota Belud disaksikan oleh Abdul Gari(tujuh dari kanan).

“Cabaran yang pertama ialah kelelahan dan dalam jarak hampir 90km biasanya pengayuh akan berasa lelah, cabaran kedua pula ialah keadaan cuaca, samada panas atau hujan dan ketiga, mengekalkan semangat saya.

“Mujur keluarga memberi sokongan sepenuhnya malahan anak sulung juga turut menemani dan memantau sepanjang perjalanan dengan menggunakan motosikal,”katanya.

Richard turut berharap lebih ramai yang melakukan aktiviti sebegini terutama sekali dari kalangan anggota JaPen khususnya dalam menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan.

AI Jo Riders mengiringi Richard menempuhi cabaran mengharungi Bukit Kelawat, Kota Belud.

AI Jo Riders mengiringi Richard menempuhi cabaran mengharungi Bukit Kelawat, Kota Belud.

Menurutnya, bukan sekadar kibaran bendera, tetapi untuk tunjukkan semangat patriotik seseorang boleh saja dengan cara melakukan aktiviti yang digemari.

Sehubungan itu juga, beliau bersama rakan-rakannya yang dijangka lebih 100 penunggang basikal akan mengelilingi daerah Kota Marudu bagi menyemarakkan sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti.

Pelepasan Ketiga pagi tadi disempurnakan oleh Pegawai Daerah, Abdul Gari Itam bersama Pegawai Penerangan Bahagian Pantai Barat Utara, Durahim Jaman dan Timbalan Presiden Kelab Ai Jo Bikers, Saidi Dikam.

Meletakkan bendera di kenderaan ketika singgah di Kota Belud

Meletakkan bendera di kenderaan ketika singgah di Kota Belud

Durahim mengucapkan tahniah kepada Richard yang merupakan pesara JaPen dan mantan Pegawai Penerangan Daerah Kota Marudu yang akan menamatkan kayuhan di Kota Kinabalu pada Khamis sejauh 211km.

“Kita menyambut Hari Kebangsaan yang ke 61 seusia dengan Richard dan ia bukan penghalang kepada beliau untuk menamatkan kayuhan ini sehingga hentian terakhir.

“Pelepasan pagi ini di Kota Belud diiringi oleh Kelab Berbasikal Ai Jo seramai 20 orang dan sebagai rakyat Malaysia, ini adalah salah satu contoh untuk menyemarakkan rasa cinta kepada negara,”katanya.

 

 

-FB

Tinggalkan komen anda