Skip to main content
HomeTerengganu

Unjam Tingkat Hasil Pendapatan Nelayan

By 7 September 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan dan foto oleh: Mahadi Mustafa / Zulkifli Othman (Terengganu)

DUNGUN, 7 Sep (MalaysiaAktif) – Majlis Melabuh Unjam di Jeti Kuala Paka hasil kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Perikanan negeri dan Persatuan Nelayan Kawasan Paka berjaya melabuhkan kira-kira 40 unjam di perairan Paka di sini, semalam.

Program melabuh unjam merupakan kali ke-2 dilaksanakan di Negeri Terengganu selepas Daerah Marang. Pengarah Perikanan Terengganu, Haji Zawawi Ali, berkata pihaknya menggunakan kaedah pemasangan unjam itu untuk menambah habitat pelbagai spesies ikan. “Unjam adalah kaedah paling mudah dan murah untuk meningkatkan pendapatan nelayan pantai yang sebelum ini terjejas berikutan kegiatan pencerobohan pihak tidak bertanggungjawab termasuk bot pukat tunda,” katanya lagi.

Unjam merupakan sejenis peranti pengumpul ikan, buatan manusia yang dibina dari bahan semulajadi seperti pelepah dan daun kelapa, daun-daun pokok rhu, daun teja dan juga daun kelapa laut yang diikat dengan tali dan kemudiannya dilabuhkan di kawasan perairan laut pesisir pantai supaya menjadi tempat ikan berkumpul.

Ucapan perasmian oleh YB Exco

Ucapan perasmian oleh YB Exco

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, unjam yang disiapkan berupaya menarik ikan seawal 2 hari ia dilabuhkan. Ikan-ikan kecil akan berkumpul dan berlegar di bawah unjam yang akan menarik kawanan ikan pelagik dan demersal bersaiz besar ke kawasan ini. Sesebuah unjam akan bertahan selama 6 bulan di mana struktur unjam ini akan mereput secara semulajadi dan menjadi makanan kepada flora dan fauna yang terdapat di situ.

Kata beliau lagi, faedah yang dijangka akan diperolehi oleh nelayan khususnya di sekitar kawasan Paka adalah peningkatan hasil pendapatan yang diperolehi dengan anggaran RM300 – RM450 sehari. Pertambahan perolehan hasil tangkapan oleh nelayan diharapkan dapat meningkatkan sosial ekonomi golongan nelayan dengan adanya program seumpama ini. Beliau ditemui selepas melancarkan Majlis Melabuh Unjam di Jeti Kuala Paka.

Mohamad bin Ibrahim, salah seorang peserta yang ditemui berharap agar program yang dianjurkan ini dapat memberi penambahan pendapatan kepada nelayan pesisir pantai khususnya apabila tiba musim tengkujuh akan datang.

Antara warga nelayan yang hadir ke majlis

Antara warga nelayan yang hadir ke majlis

Turut hadir wakil Pegawai Daerah Dungun, Haji Ghafar Abu Bakar serta Ketua-ketua Jabatan dan Agensi di bawah Potfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa.

EM

Tinggalkan komen anda