Skip to main content
HomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

Apa Kata Anak Malaysia Mampu Memupuk Semangat Cintakan Negara

By 9 September 2018Tiada komen3 minit bacaan
Laporan & foto : Nornisah Khairoji & Parameswary Lekshmnan

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Malaysiaaktif) – Dalam usaha mengenali corak pemikiran pemimpin masa depan, Jabatan Penerangan (JaPen) WPKL dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas dan IPG Kampus Bahasa Melayu menganjurkan Program ‘Apa Kata Anak Malaysia (AKAM)’ 2018 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Dato’ Razali Ismail, IPG Kampus Ilmu Khas, Jalan Yaacob Latiff, di sini, semalam.

Program secara ‘intelligent engagement’ ini dilihat memberi peluang dan ruang kepada generasi muda  menyuarakan pandangan dan harapan interaktif dalam mencorakkan hala tuju kepimpinan negara ke arah sebuah negara yang maju dan bermartabat.

Program dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik), Jabatan Penerangan Malaysia, Puan Roselindawati Abdul Rahman mewakili Ketua Pengarah Penerangan Malaysia.

Roselinda berkata, “Program ini juga bertujuan mengasah bakat-bakat barisan pelapis komunikator muda yang mahir dan berkaliber dalam menyampaikan hasrat dan pandangan secara berhemah, bijaksana dan kreatif.”

AKAM 2018 ini dikendalikan Ahmad Farid Abu Dzarim, Pegawai Penerangan dari JaPen sebagai moderator dan empat (4) orang peserta berlainan bangsa dari pihak IPG sendiri di mana topik yang dibincangkan berkisar kepada konsep patriotisme dan jati diri terhadap negara.

Moderator dan peserta Forum Apa Kata Anak Malaysia (AKAM) 2018. Dari kiri, Bryn Chew Ching Gee, Salim Abdullah (IPG Kampus Bahasa Melayu), Ahmad Farid Abu Dzarim (Moderator), Mohd. Aliff Mirza Esa dan Marylnd Anne Anak Micheal Jeali (IPG Kampus Ilmu Khas)

Moderator dan peserta Forum Apa Kata Anak Malaysia (AKAM) 2018.
Dari kiri, Bryn Chew Ching Gee, Salim Abdullah (IPG Kampus Bahasa Melayu), Ahmad Farid Abu Dzarim (Moderator), Mohd. Aliff Mirza Esa dan Marylnd Anne Anak Micheal Jeali (IPG Kampus Ilmu Khas)

Peserta mewakili IPG Kampus Bahasa Melayu, Salim Abdullah yang mengupas topik ‘Perpaduan Kaum Tunjang Kestabilan Negara’ telah dinobatkan sebagai Panel Terbaik AKAM 2018 pada kali ini.

Salim, anak kepada ibu bapa berketurunan India Cina ini menegaskan bahawa sikap segelintir rakyat Malaysia yang malu bertutur dalam Bahasa Kebangsaan bersamaan dengan mengikis khazanah bangsa dan menghapuskan martabat bangsa Malaysia yang kita pelihara selama 61 tahun.

“Walaupun rakyat Malaysia berkepelbagaian bangsa dan kaum, hubungan mesra harmoni yang terjalin melalui pertuturan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan memperkukuhkan lagi kedaulatan dan martabat negara,” tegas Salim.

Tambah beliau, “Sebagai rakyat Malaysia, kita harus bangga bertutur dalam Bahasa Melayu dan harus martabatkan bahasa Kebangsaan kita di peringkat antarabangsa,” ujarnya ketika ditemui semasa program tersebut.

Manakala menurut Marylnd Anne Anak Michael Jeali, panel dari IPG Kampus Ilmu Khas, “Sikap segelintir anak muda kini yang menyalahgunakan platform media sosial untuk tujuan provokasi amat menyedihkan.”

Marylnd berpendapat ibu bapa juga turut memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang menghormati dan menghayati pegangan agama serta kebudayaan kaum lain supaya perpaduan antara masyarakat Malaysia terus kekal.

Selain Program AKAM, siswa guru IPG Kampus Ilmu Khas juga dilibatkan sebagai Aktivis Sayangi Malaysiaku JaPen sempena Sambutan Hari Kebangsaan.

Mereka juga dibawa untuk bersama komuniti setempat dalam program kemasyarakatan seperti gotong-royong membersihkan persekitaran Surau Muhamadiah, Taman Ikan Emas, Bandar Tun Razak dan Rumah Kebajikan Thanggam Illam, Cheras dalam usaha menyemai nilai dan semangat kesukarelaan dalam kalangan penuntut IPG selaraskan tema kemerdekaan tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku’ dan juga Ceramah Kenegaraan sebagai program sampingan AKAM ini.

Tetamu kehormat bergambar kenangan bersama Moderator dan Peserta Forum.

Tetamu kehormat bergambar kenangan bersama Moderator dan Peserta Forum.

Turut hadir, Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas; Dr. Mohd Suhaimi Mohamed Ali dan Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Encik Devaraj Subramaniam.

-KN

Tinggalkan komen anda