Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

11 Pasangan Nikah Perdana Sempena Maal Hijrah 1440

By 11 September 2018Tiada komen2 minit bacaan

I Laporan dan Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Masjid Terbaik Negeri Selangor 2015, Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak meneruskan tradisi menganjurkan majlis pernikahan perdana sempena sambutan Maal Hijrah tahun ini, di sini hari ini.

Ini merupakan penganjuran kali ketujuh berturut-turut dilaksanakan sejak tahun 2012 yang mendapat sambutan baik di kalangan anak muda. Tahun ini sebanyak 11 pasangan menyertainya termasuk satu pasangan golongan asnaf.

Azizul Safrie Turin (kanan) dan pasangannya Nor Sabarina Mohamed Takyin merupakan golongan asnaf yang menyertai pernikahan perdana.

Azizul Safrie Turin (kanan) dan pasangannya Nor Sabarina Mohamed Takyin merupakan golongan asnaf yang menyertai pernikahan perdana.

Program yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu dimulakan dengan ceramah perdana oleh penceramah jemputan, khutbah nikah, majlis ijab kabul, penyerahan mas kahwin dan makan beradap.

Nazir masjid, Ir Mohd Rozi Salleh, memaklumkan program merupakan dua dalam satu iaitu sambutan Maal Hijrah dan pernikahan perdana 11 pasangan pengantin yang menepati syarat yang ditetapkan.

Salah seorang pengantin lelaki sedang diijab kabul dalam program pernikahan perdana anjuran Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak.

Salah seorang pengantin lelaki sedang diijab kabul dalam program pernikahan perdana anjuran Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak.

“Syaratnya adalah pendapatan bulanan pasangan tidak melebihi RM3,000 sebulan dan salah seorang pasangan berasal dari negeri Selangor. Pasangan hanya perlu membayar RM1,000 sahaja,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, pihak masjid akan menubuhkan alumni 62 pasangan pengantin yang menyertai pernikahan perdana itu sejak tujuh tahun lalu agar hubungan antara pihak masjid dan pasangan akan berterusan.

11 pasangan pengantin yang menyertai program pernikahan perdana sempena Maal Hijrah anjuran Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak.

11 pasangan pengantin yang menyertai program pernikahan perdana sempena Maal Hijrah anjuran Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak.

“Pihak masjid amat yakin inisiatif ini akan dapat mencapai objektif iaitu memberi sokongan dan motivasi untuk anak kariah atau anak muda meninggalkan gaya hidup tidak sihat dengan melangsungkan perkahwinan,” katanya.

Pengantin golongan asnaf, Azizul Safrie Turin, 40, dan pasangannya Nor Sabarina Mohamed Takyin, 44, melahirkan perasaan syukur kerana majlis berjalan dengan lancar dan mengucapkan terima kasih kepada pihak masjid yang menganjurkan program pernikahan perdana.

Ir Mohd Rozi Salleh, Nazir Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak

Ir Mohd Rozi Salleh, Nazir Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak

“Sempena Maal Hijrah ini kami memilih untuk mendirikan rumah tangga agar kehidupan kami ke arah yang lebih baik pada masa depan.

“Program ini sangat baik dalam membantu golongan asnaf seperti kami kerana kos yang rendah dan berharap perkahwinan ini akan berkekalan,” ujar Nor Sabarina.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, yang hadir merasmikan program mengucapkan tahniah kepada pihak masjid menganjurkan pernikahan perdana sempena Maal Hijrah.

Amirudin Shari ketika merasmikan program.

Amirudin Shari ketika merasmikan program.

“Di Selangor terdapat Insentif Perkahwinan Belia yang disediakan oleh kerajaan negeri melalui Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) untuk pasangan berusia 35 tahun ke bawah mendirikan rumah tangga.

“Kerajaan negeri dalam perancangan untuk menambah baik insentif tersebut agar ianya memberi kesan yang lebih terutama selepas pasangan mendirikan rumah tangga kerana keperluan selepas itu lebih tinggi seperti perumahan, anak-anak dan keperluan lain,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda