Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Indeks Harga Pengguna Pengukur Kejayaan SST

By 11 September 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan dan Foto Oleh : Rose Rasidi

ALOR SETAR, 11 Sept (Malaysiaaktif) – Bermula 1 September 2018, kerajaan baharu Pakatan Harapan telah menguatkuasakan semula sistem pencukaian ke atas Jualan dan Perkhidmatan (SST) 2.0 yang telah menggantikan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Besar Kedah, Menteri KPDNHEP, EXCO kerajaan negeri Kedah, ketua-ketua Jabatan Kastam dan KPDNHEP

Menteri Besar Kedah, Menteri KPDNHEP, EXCO kerajaan negeri Kedah, ketua-ketua Jabatan Kastam dan KPDNHEP

SST digantikan kerana kelemahan sistem GST yang dikutip secara bertingkat-tingkat ke atas pengilang, pengimport, pengedar, pemborong dan peruncit sebanyak 6 peratus telah mengakibatkan kenaikan harga barang yang akhirnya memberi tekanan kepada rakyat terutamanya rakyat berpendapatan rendah.

taklimat yang jelas daripada Menteri KPDNHEP, Datuk Saifuddin Nasution Ismail

taklimat yang jelas daripada Menteri KPDNHEP, Datuk Saifuddin Nasution Ismail

Penerangan ke atas sistem cukai SST telah disebar luas ke seluruh negara dan satu sesi taklimat oleh agensi Kastam dan KPDNHEP telah dilaksanakan di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, semalam.

Taklimat KPDNHEP

Taklimat KPDNHEP

Program yang dihadiri oleh Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Taklimat Kastam

Taklimat Kastam

Datuk Saifuddin berkata, “SST hanya melibatkan pengilang dan pengimport sahaja. Jabatan Kastam akan mengutip cukai dan memasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan untuk pendapatan kerajaan yang akan dibelanjakan bagi tujuan pembangunan negara. Urusan ini diletakkan dibawah Kementerian Kewangan Malaysia.”

IMG-20180911-WA0031

Katanya lagi, “cukai memberi kesan kepada pengguna kerana kos sara hidup akan meningkat, namun cukai perlu dikutip untuk perbelanjaan pembangunan negara. Kerajaan telah mengkaji satu-satunya faktor pengukur kepada kenaikan kos sara hidup ialah melalui Indeks Harga Pengguna ‘Consumer Price Index’. Jika Indeks Harga Pengguna rendah, maka kos sara hidup akan rendah dan terkawal. Jabatan yang akan bertanggungjawab dalam menganalisa Indeks Harga Pengguna ialah Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

“Rakyat yakni pengguna melibatkan kos item perbelanjaan yang dipanggil ‘sistem bakul pengguna’ seperti kos perumahan, pengangkutan, pendidikan, makanan, kesihatan dan lain-lain lagi. Maka, melalui KPDNHEP, pemantauan dan penguatkuasaan telahpun dilaksanakan melalui OPS Catut 4.0 bagi memastikan semua premis perniagaan yang berdaftar dengan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia menyelaras semula kadar cukai dan mengelakkan sebarang manipulasi harga oleh premis perniagaan impak daripada pelaksanaan perubahan cukai.

Katanya lagi, “seramai 1044 pegawai pemantau harga seluruh Malaysia akan memantau harga ke atas 417 barangan keperluan. KPDNHEP hanya mempunyai kekuatan seramai 2300 orang pegawai, maka bantuan dan kerjasama rakyat diperlukan dalam membantu menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan peniaga yang menaikkan harga barang dengan membuat aduan talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) 1-800-886-800, melalui aplikasi telefon pintar Ez ADU, melalui SMS ke 15888 dengan menaip KPDNHEP ADUAN <butiran aduan> dan melapor atau hadir ke mana-mana pejabat KPDNHEP di seluruh negara.”

Manakala di dalam ucapan perasmian Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, “SST memberi impak positif kepada bebanan sara hidup rakyat. Kutipan cukai daripada SST yang dijangkakan bernilai antara 20 hingga 23 bilion dapat dibelanjakan kepada pembangunan negara seperti pembinaan jalan, hospital, sekolah, masjid dan lain-lain lagi terutamanya dalam pembangunan di negeri Kedah,” ujar beliau dengan harapan pemimpin tempatan yang hadir ke majlis ini dapat menyebarkan maklumat yang tepat kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Respon daripada kakitangan kerajaan yang hadir pada majlis Taklimat Pelaksanaan cukai SST ini, Aidatul Shima Che Hassan, berkata, “penerangan ini penting untuk kami sebagai rakyat juga pengguna memahami akan pelaksanaan semula cukai SST agar pengutipan cukai SST tidak akan membebankan rakyat dan dapat membantu menjaga kesejahteraan rakyat,” ujarnya penuh harapan.

Tinggalkan komen anda