Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Konvoi JaPen Hargai Khazanah Sungai, Lawat Tagal Kampung Poturidong

By 15 September 2018Tiada komen5 minit bacaan

Laporan oleh: Fauzrina Bulka/ Foto: Shahvian Mohamad Razali (Sabah)

 

 

TUARAN, 15 Sept (Malaysiaaktif) – Walaupun hujan renyai turun pagi tadi di Kampung Poturidong, Kiulu namun aktiviti tetap diteruskan kerana keindahan alam semulajadi di kawasan itu telah menambat hati ahli konvoi Muafakat Komuniti.

Terletak kira-kira 1.5 meter dari pekan Kiulu, kampung ini mempunyai sebuah Pusat Rekreasi Tagal di Sungai Tuaran yang diusahakan Persatuan Tagal Kampung Poturidong.

jambatan simen laluan ke Tagal menggantikan jambatan gantung

jambatan simen laluan ke Tagal menggantikan jambatan gantung

Tagal merujuk kepada larangan menangkap ikan di lubuk atau sungai tertentu untuk suatu tempoh yang dipersetujui oleh penduduk di sesebuah kampung, umpamanya dalam tempoh setahun.

Menurut Pengerusinya, Juara Jidal, 73 Tagal Poturidong telah ditubuhkan pada tahun 1987 dalam usaha untuk melindungi khazanah sungai.

Norzawiyah(kanan) dan Ibrahim (tengah) mendengar taklimat yang disampaikan oleh Juara(kiri).

Norzawiyah(kanan) dan Ibrahim (tengah) mendengar taklimat yang disampaikan oleh Juara(kiri).

“Sistem tagal ini berhasil mengelak berlakunya pencemaran sungai dan kepupusan ikan kerana hanya peralatan penangkapan tradisional yang digunakan oleh penduduk.

“Larangan penangkapan ikan itu akan ditarik balik untuk sehari, dalam tempoh sehari itu, penduduk akan menuai hasil hidupan di lubuk atau sungai tersebut, atau lebih dikenali sebagai Pesta Tagal,” jelasnya.

Juara (kiri) menunjukkan galeri gambar pada Ibrahim(kanan).

Juara (kiri) menunjukkan galeri gambar pada Ibrahim(kanan).

Turut menyediakan kemudahan pondok rehat dan tandas, ianya memudahkan pengunjung yang datang untuk mandi disitu.

“Yuran masuk ke pusat rekreasi ini dikenakan sama rata samada pengunjung tempatan atau bukan warganegara iaitu hanya RM5 seorang bagi dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak.

“Yuran yang dikenakan juga tidak dikenakan had masa dan pengunjung bebas beriadah selama yang mereka mahu selama tagal beroperasi bermula 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.

 

Ibrahim sedang cuba memberi makan ikan

Ibrahim sedang cuba memberi makan ikan

“Apa yang menyeronokkan, para pengunjung yang hendak mandi di sungai itu berpeluang bermain dan berenang dengan ikan kelah serta memberi makanan yang kami jual dalam nilai RM2 hingga RM5 mengikut kuantiti,”ujarnya.

Juara juga menghargai bantuan dan khidmat nasihat yang diberikan oleh Jabatan Perikanan ke arah memastikan sumber perikanan sungai di Sabah berjaya dilindungi, dipulihara dan di tuai secara mapan supaya tidak pupus.

Katanya sebelum ini, pengunjung yang ingin datang ke tagal perlu meniti jambatan gantung, tetapi kini mereka boleh membawa masuk kenderaan sendiri dengan menyeberangi sungai yang mempunyai jambatan simen atau ‘low level crossing’.

Keindahan sungai yang dihiasi jambatan gantung yang melintang diatasnya.

Keindahan sungai yang dihiasi jambatan gantung yang melintang diatasnya.

“Apabila hujan sering turun seperti beberapa hari ini, air sungai akan melimpah melalui jambatan simen tersebut, dan jika arus kuat, pengunjung terpaksa meniti jambatan gantung untuk kesini.

“Sebaliknya kalau hujan tidak turun, air sungai akan kelihatan sangat jernih, ikan-ikan akan kelihatan sangat jelas berenang di dalam air sungai yang cetek.

“Walaupun Jabatan Meteorologi menjangkakan Sabah terkena tempias Taufan Mangkhut tetapi kita bertuah pagi ini hujan turun renyai-renyai sahaja,”kata Juara.

Ibrahim Abdul Rahman

Ibrahim Abdul Rahman

Menghargai lawatan peserta konvoi daripada Jabatan Penerangan(JaPen) dengan 10 buah kenderaan hari ini, Juara turut berharap agar ada pihak-pihak yang sudi untuk menyediakan dewan serbaguna agar mereka dapat menerima lawatan pengunjung dalam jumlah yang besar dan membuat aktiviti dengan lebih selesa.

Juara turut mengharapkan promosi yang berterusan terhadap Pusat Rekreasi Tagal tersebut kerana ia dapat membantu menjana ekonomi pendapatan penduduk kampung.

Ibrahim menyampaikan hadiah kepada pemenang pakaian beragam kategori perempuan

Ibrahim menyampaikan hadiah kepada pemenang pakaian beragam kategori perempuan

Dalam Program Muafakat Komuniti tersebut, peserta konvoi turut singgah sebentar di Riverbug Rangalau Lama, Kiulu, Tuaran iaitu destinasi percutian atau pengembaraan aktiviti lasak yang digemari pencinta sukan lasak sebelum menamatkan lawatan di Kampung Bungalio.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Penerangan, Dato’ Ibrahim Abdul Rahman berkata Program Muafakat Komuniti Malaysia adalah sebagai program sampingan sempena Hari Malaysia yang akan diadakan besok.

Ibrahim menyampaikan hadiah kepada pemenang pakaian beragam kategori lelaki

Ibrahim menyampaikan hadiah kepada pemenang pakaian beragam kategori lelaki

“Melalui hubungan yang terjalin antara jabatan dengan masyarakat khususnya di Kampung Kiulu dan sekitar Tuaran, saya berharap kita bersama-sama dapat hadir ke program sambutan Hari Malaysia pada besok malam.

“Apa yang saya lihat ternyata Kampung Bungaliao ini amat indah dikelilingi dengan bukit bukau dan dusun pertanian yang begitu subur.

Norzawiyah (kanan) menyerahkan cenderahati kepada Ibrahim(tiga dari kiri)

Norzawiyah (kanan) menyerahkan cenderahati kepada Ibrahim(tiga dari kiri).

“Yang lebih menarik ialah soal perpaduan masyarakat dari pelbagai kaum dan agama yang dapat hidup aman damai dan hormat menghormati antara satu sama lain maka kita dapat lihat kemajuan tanaman hasil pertanian daripada penduduk,”katanya.

Menurutnya, jalinan perhubungan yang wujud dengan mengadakan kenduri kampung ini dapat mengukuhkan interaksi dan jalinan starategik JaPen dengan penduduk kampung.

Merasai keenakan buah-buahan tempatan.

Merasai keenakan buah-buahan tempatan.

“Melalui proses ini lah maka jalinan itu berlaku dan secara tidak langsung pemasaran bermaklumat yang kita buat tentang dasar-dasar kerajaan membolehkan rakyat memahami keperluan bersama.

“Ini bagi memastikan Malaysia baharu dibawah kepimpinan kerajaan baharu dapat meneruskan proses pembangunan negara dengan lebih gemilang lagi pada masa akan datang,”ujarnya.

Ibrahim bersama jemputan yang hadir

Ibrahim beramah mesra bersama jemputan yang hadir

Beliau berharap lebih banyak program-program seperti ini dapat dilaksanakan khususnya dengan rakan srategik JaPen iaitu Muafakat Komuniti Malaysia(MKM) yang telah ditubuhkan di seluruh negara.

Jelasy, MKM dapat membantu JaPen dari segi pemasaran maklumat dan juga melaksanakan kerja-kerja advokasi dasar-dasar awam di peringkat akar umbi dan juga di peringakat penggunaan sosial media.

“Inilah caranya keberkesanan menyatupadukan masyarakat, kerana tidak ada apa yang lebih baik lagi selain daripada interaksi secara bersua muka ini dan disokong oleh medium-medium yang lain.

“Jadi itu adalah tanggungjawab dan peranan yang kita laksanakan selama ini melalui proses-proses inovasi dan perubahan sikap masyarakat dengan menerima sesuatu dasar baru yang telah kerajaan perkenalkan,”katanya.

Pada majlis di Kampung Bungalio, turut diserikan dengan persembahan tarian tradisi daripada pelajar SK Sg Damit dan pakaian beragam kanak-kanak selain memperkenalkan keunikan rasa buah-buahan tempatan seperti terap, bambagan  dan belunu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Roselindawati Abdul Rahman; Pengarah Penerangan Sabah, Norzawiyah Bulka; Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Ibu Pejabat Putrajaya, Hashim Bedu; Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Sabah, Wasrin Zakaria dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Celestinus Lawanding.

 

 

 

-FB

Tinggalkan komen anda