Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Kerajaan Selangor Akan Perkasa IPR

By 16 September 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan dan Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 15 Sep (Malaysiaaktif) – Kerajaan Selangor akan memperkasa program-program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) mulai tahun hadapan sejajar perkembangan semasa untuk melihat keberkesanannya.

“Selepas 10 tahun pelaksanaannya, ianya masa yang sesuai melihat semula program-program IPR berkaitan keberkesanan dan juga hasilnya.

“Secara asasnya daripada program berbentuk pemberian kepada bentuk pemerkasaan atau pemberdayaan,” demikian dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Malaysia peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kertas, Batu Caves di sini hari ini.

Menurutnya, beberapa pengumuman untuk program-program IPR akan dibuat secara berperingkat tahun depan agar ianya tidak dilihat kebergantungan kepada kerajaan.

“Sebaliknya ia perlu menjadi pemberdayaan atau pemerkasaan kelompok-kelompok yang memerlukan seperti orang kurang upaya, golongan asnaf dan sebagainya,” katanya yang juga ADUN Sungai Tua.

Amirudin (tiga dari kiri) menyampaikan Kad Peduli Sihat kepada salah seorang penerima semasa program Sambutan Hari Malaysia di SMK Sungai Kertas, Batu Caves.

Amirudin (tiga dari kiri) menyampaikan Kad Peduli Sihat kepada salah seorang penerima semasa program Sambutan Hari Malaysia di SMK Sungai Kertas, Batu Caves.

Jelas Amirudin, IPR yang dahulunya dikenali sebagai Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) mensasarkan kumpulan tertentu seperti warga emas dan sekolah, ada yang berkesan dan ada yang kurang.

“Program Tuisyen Rakyat contohnya, dulu dianjur oleh Pusat Khidmat Rakyat DUN, sekarang ianya sesuai dilaksanakan dengan kerjasama pihak sekolah. Ini adalah penjajaran semula bersesuaian dengan kontek sekarang.

Sementara itu, Amirudin turut mengulas pihak tertentu yang masih mengedarkan borang program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) walaupun kuotanya telah penuh.

“Kuota 40 ribu penerima KISS telah penuh dan dasar kita tiada tambahan bajet, namun saya akan melihat sumber-sumber lain khususnya anak-anak syarikat untuk menampung lebihan permohonan tersebut.

“Antara program kita pada tahun depan adalah menilai semula dan mengoptimumkan pemberian KISS,” katanya.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda