Skip to main content
HomeLabuan

Khalid Seru Warga Labuan Bersatu Bina Semula Negara

By 17 September 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan dan Foto: Mohd Faizal Mansor/Jeffrey Nian/Roziman Mahmuddin

LABUAN, 17 Sep (MalaysiaAktif) – Menteri Wilayah Persekutuan, Haji Khalid Abdul Samad menyeru seluruh warga Labuan yang berbilang kaum agar bersatu padu dan bersama-sama dengan kerajaan hari ini untuk membina semula nagara Malaysia ke landasan yang sebenarnya.

“Hari ini, kita perlu akui dan menerima hakikat bahawa Malaysia dalam suasana malaysia yang baharu perlu mengembalikan semula kegemilangan tersebut dalam memastikan negara kita malaysia berada di landasan yang sebenar dalam memacu ekonominya semula”, kata Khalid.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Kebangsaan dan Perarakan Kontinjen Sempena Hari Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2018 anjuran Perbadanan Labuan, di Dataran Labuan, semalam.

Khalid (tengah) melaungkan Merdeka sebanyak tujuh kali bersama dengan tetamu kehormat dan warga Labuan.

Khalid (tengah) melaungkan Merdeka sebanyak tujuh kali bersama dengan tetamu kehormat dan warga Labuan.

“Dengan tema Hari Kebangsaan 2018 iaitu“Sayangi Malaysiaku” jelas menggambarkan bahawa setiap warga Malaysia perlulah menyayangi negara ini walaupun pelbagai dugaan yang mendatang khususnya dalam mengembalikan kegemilangan negara kita yang pernah di gelar sebagai ‘harimau asia’ dalam pembangunan ekonomi suatu masa dahulu”, tambah beliau.

Tambah beliau lagi, rakyat Malaysia khususnya warga Labuan harus bergerak seiring dengan kerajaan yang ada pada hari ini agar bergembeleng usaha dan tenaga untuk memastikan Malaysia mampu pulih dan bangun dari kemelut kewangan yang kita hadapi sekarang serta bersama-sama membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa demi kesejahteraan negara ini.

“Kini bukanlah masanya untuk kita berpecah belah dan saling berbalah disebabkan perbezaan pendapat dan fahaman politik, walau apa dugaan yang merintang, kita tidak boleh berputus asa, sebaliknya harus terus mara ke hadapan untuk memajukan negara ini”, ujar Khalid.

Kanak-kanak cilik juga turut serta dalam perarakan kontinjen tersebut

Kanak-kanak cilik juga turut serta dalam perarakan kontinjen tersebut

Khalid juga menyeru agar generasi belia masa kini perlu mengambil iktibar tentang coretan sejarah negara yang terjadi agar mereka mampu berfikir secara cerdik dan rasional agar detik-detik hitam yang terjadi pada masa lalu tidak diulangi semula.

“Ini kerana nikmat kemerdekaan yang mereka kecapi pada hari ini perlu dipertahankan di atas semangat warganegara Malaysia yang bersatu padu dan mencintai keamanan serta menolak elemen berpuak-puak dan rasis di kalangan kita”, beliau menambah lagi.

Pada sambutan tersebut, Kontinjen Perbadanan Labuan telah dinobat sebagai Kontinjen Terbaik manakala Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan memenangi kategori khas iaitu kontinjen teramai di samping beberapa lagi kategori yang sebanyak 114 kontinjen yang terbabit dalam perarakan tersebut.

Salah satu kontinjen yang menarik perhatian orang ramai

Salah satu kontinjen yang menarik perhatian orang ramai

Turut hadir, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli; Senator Dewan Negara, Datuk Bashir Alias; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md. Ikshan; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Datuk Azhar Ahmad serta ketua-ketua jabatan kerajaan Persekutuan.

EM

Tinggalkan komen anda