Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeJohor

Forum AKAM Beri Peluang Generasi Muda Cetus Idea Baru

By 3 Oktober 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan dan Foto oleh Hamisah Sumar (Johor Bahru )

JOHOR BAHRU, 3 Okt (Malaysiaaktif) – Program Forum Apa Kata Anak Malaysia (AKAM) Negeri Johor 2018 merupakan program yang diadakan bagi memberi peluang kepada mahasiswa memberi pandangan, cadangan, aspirasi dan harapan mereka ke arah membina negara yang bersatu padu, aman makmur serta rakyat yang mempunyai semangat cintakan negara yang tinggi.

Seramai 4 orang ahli panel yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim, telah dipilih sebagai panel forum. Apa yang menariknya, panel forum adalah terdiri dari pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India dan Sarawak.

Zetty Akmar Zulkarnain, yang merupakan panel forum tersebut menyatakan bahawa beliau sangat teruja untuk menyertai forum Apa Kata Anak Malaysia ini.

Beliau yang membentangkan tajuk Rukun Negara Pemangkin Negara Maju telah berjaya menjadi panel forum terbaik.

“14 buah negeri mempunyai lagunya sendiri yang senikatanya memuji dan mengagungkan Raja dan negeri. Kerana itulah lagu negeri wajib dinyanyikan setiap minggu sekali bagi menanam semangat perpaduan kenegerian walaupun berbilang bangsa, berbeza bahasa, berlainan budaya”, katanya.

Tambah beliau, sudah terpapar bukti di tanah air ini, apabila semua rakyatnya berdiri tegak menyanyikan lagu Negaraku, tiada lagi isitilah ‘aku anak Melayu’, ‘aku anak Cina’, ‘aku anak India’. Namun, semua bersatu di bawah lembayung identiti ‘aku anak jati Malaysia’.

“ Tidak dapat disangkal lagi, bahawa Prinsip rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja dan Negara dapat menyokong Malaysia ke arah Negara Maju melalui penyatuan perpaduan itu sendiri”, kata beliau mengakhiri hujah.

Zetty Akmar yang memenangi panel terbaik bagi Forum Apa Kata Anak Malaysia Negeri Johor dengan membawa pulang sijil, wang tunai dan hadiah sampingan berupa mesin pencetak.

Bagi panel forum kedua iaitu  Darshan A/L Chandra Seharan, beliau memaklumkan bahawa usaha kerajaan perlulah berterusan dalam memupuk perpaduan  dan  keharmonian kaum.

“Dalam sistem pendidikan, perlu diterapkan nilai-nilai perpaduan antara sesama kaum. Ini kerana generasi alaf baru merupakan generasi yang akan meneruskan perjuangan masa hadapan”, katanya.

Tambah beliau lagi, ideologi-ideologi anasir-anasir yang berkepentingan sendiri yang  akan  menggugat dan menimbulkan isu perkauman dan menyentuh sensitiviti kaum juga perlulah disekat agar tidak mempengaruhi rakyat dan menimbulkan kekecohan.

Forum ini merupakan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Johor dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir. Turut hadir sama dalam program tersebut ialah Pengarah IPGKTI, Mohd. Zain Badui, dan Pengarah Penerangan Johor, Zainudin bin Haji Ismai.

 

  • AA / MRR

Tinggalkan komen anda