Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Belia Diseru Bergiat Aktiviti Seni Bela Diri

By 5 Oktober 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan oleh: Fauzrina Bulka/Foto: Azman Jumat(Sabah)

 

 

Kota Kinabalu, 5 Okt (Malaysiaaktif) – Golongan belia di daerah Putatan diseru untuk meningkatkan motivasi dengan bergiat dengan aktiviti seni bela diri dalam usaha mencegah sebarang gejala sosial yang menular di peringkat akar umbi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 18 Petagas, Uda Sulai berkata, dengan pendedahan ilmiah dan seni mempertahankan diri seperti aktiviti lasak Muay Thai, silat, Kickboxing atau Seni Mempertahankan Diri Campuran (MMA) yang semakin popular di negara ini, maka ia dapat memberikan impak positif terutamanya di kalangan anak-anak muda tempatan.

Beliau berkata, persepsi orang ramai terhadap sukan berkenaan cenderung kepada elemen keganasan haruslah dihentikan, kerana ianya lebih baik daripada terjerumus ke dalam aspek negatif seperti penyalahgunaan dadah, rempit dan buli yang mana menjadi cabaran masa kini lebih-lebih lagi di zaman kecanggihan teknologi maklumat.

“Saya berpendapat, sudah sampai waktunya golongan belia dan anak muda untuk membuka minda supaya lebih terdedah dengan lebih banyak aktiviti bermanfaat termasuklah seni mempertahankan diri.

Pertemuan Persatuan Muay Thai Daerah Putatan bersama Uda Sulai

Pertemuan Persatuan Muay Thai Daerah Putatan bersama Uda Sulai

“Melalui penglibatan di dalam seni mempertahankan diri ini, belia dapatlah menjadikan ia salah satu garis panduan untuk mendisiplinkan diri selain menghindari daripada terjebak gejala negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Persatuan Muay Thai Daerah Putatan (PMDP BPT) di pejabatnya, pada Khamis.

Hadir sama adalah Presiden PMDP BPT, Ak Shamasullaili Pg Mohd.

Mengulas lanjut, Uda yang juga Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri berkata, persatuan berkenaan akan menganjurkan satu program kejohanan terbuka yang dijangka berlangsung pada 3 dan 4 November hadapan dan bertempat di Dewan Rakan Muda, Kompleks Belia dan Sukan Sabah (Persekutuan) di Pasir Putih, Putatan.

Menurutnya, anjuran tersebut amatlah terpuji memandangkan PMDP BPT mampu mencetuskan fenomena baharu terhadap aktiviti lasak Muay Thai di daerah Putatan.

“Saya difahamkan persatuan ini melahirkan jaguh Muay Thai yang banyak meraih pingat di peringkat dalam dan luar negara bahkan ada yang mewakili di kejohanan Sukma, baru-baru ini.

“Sehubungan itu, inisiatif daripada persatuan dan Presidennya haruslah disokong seperti mana penganjuran kejohanan terbuka ini dalam usaha kita meningkatkan lagi produktiviti daerah Putatan melahirkan lebih ramai jaguh terbilang dalam sukan Muay Thai,” katanya.

 

 

-FB

Tinggalkan komen anda