Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeMelaka

Pameran Solo Pertama Gabenor di Malaysia

By 7 Oktober 2018Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/ foto : Hafif Zainurdin (Melaka)

MELAKA, 7 Okt ( MalaysiaAktif) – Gabenor Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob berbesar hati untuk menyerahkan Pameran Solo Tun Khalil Yaakob: Artist – Potraits and Images kepada kerajaan negeri sebagai salah satu produk pelancongan, semalam.

Antara karya sentuhan Tun Mohd Khalil.

Antara karya sentuhan Tun Mohd Khalil.

Pameran itu ditempatkan di Galeri  Seni Rakyat Melaka dan ini adalah merupakan satu-satunya koleksi seni Gabenor di Malaysia hasil karya beliau sendiri. Walaupun dalam kesibukan sebagai Gabenor negeri, ia tidak menghalang Mohd Khalil untuk terus berkarya bagi mencurahkan segala perasaan dalam lukisannya.

Pengalaman bertugas di luar negara seperti di Paris, Rom dan London mendedahkan beliau dengan karya-karya barat lantas memberikan inspirasi kepada Mohd Khalil untuk berkarya.

Pameran seni di galeri yang bertempat di bandar Hilir berhampiran Bangunan Stadhuys ini telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Dalam ucapannya, Adly mengagumi bakat yang dikurniakan kepada Mohd Khalil dalam menghasilkan karya seni seperti ini. Karya-karya yang terhasil diilhamkan dengan pelbagai gaya serta warna dan cahaya yang diterapkan oleh Mohd Khalil.

Tun Mohd Khalil mendengar taklimat kesenian.

Tun Mohd Khalil mendengar taklimat kesenian.

Mohd Khalil juga menerapkan beberapa tema dalam penghasilan karya seni ini seperti figura manusia, landskap, alam sekitar serta banyak lagi. Apa yang paling mengujakan ialah terdapat sejumlah 54 lukisan potret Toh Puan Datuk Zurina Kasim yang melambangkan 54 tahun usia perkahwinan mereka.

Pameran ini juga bertepatan dengan Sambutan Hari Jadi Mohd Khalil yang ke 80 pada minggu ini.

Minat Mohd Khalil dalam program seni ini telah bermula sejak kecil dan difahamkan sejak tahun 2004, beliau tidak pernah menolak untuk menghadiri apa-apa program seni yang dianjurkan oleh pelbagai agensi, jabatan dan institusi demi memberikan semangat dan dorongan kepada orang ramai untuk terus berkarya.

Turut hadir pada majlis perasmian ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Omar Jaafar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Roslan Ibrahim.

 

-KN

 

Tinggalkan komen anda