Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Ambil Inspirasi Melalui Penerima Anugerah Merdeka

By 12 Oktober 2018Tiada komen3 minit bacaan
Laporan oleh: Fauzrina Bulka/ Foto: Azman Jumat(Sabah)

 

KOTA KINABALU, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Generasi muda di harap dapat mengambil inspirasi melalui penerima-penerima Anugerah Merdeka yang terpilih kerana pencapaian dan sumbangan kepada negara serta penghayatan budaya kecemerlangan serta pemikiran kepimpinan tanpa batasan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata ia demi memupuk budaya kecemerlangan, berdaya cipta, berpandangan global dan jati diri untuk menyumbang kepada negara serta menonjolkan kreativiti dan inovasi dalam memacu kemajuan negeri Sabah.

Antara jemputan yang hadir di Balai Seni Lukis pada Khamis

Antara jemputan yang hadir di Balai Seni Lukis pada Khamis

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah mengumumkan dua penerima Anugerah Merdeka 2017 pada Majlis Perasmian Pameran Seni Potret Anugerah Merdeka: Inspirasi Budaya Kecemerlangan anjuran Balai Seni Lukis Sabah dan Galeri Petronas dengan kerjasama Merdeka Award Trust pada khamis.

Penerima pertama ialah anak jati Sabah, Datuk Sri Tengku Zainal Adlin Tengku Mahamood yang dipilih sebagai penerima kategori Alam Sekitar berikutan sumbangan beliau terhadap hidupan liar, pemuliharaan alam sekitar dan perhutanan khususnya di Sabah.

2

Seorang lagi penerima ialah Dr Timothy Willaim, seorang doktor yang sedang berkhidmat di Unit Penyakit Berjangkit di Hospital Queen Elizabeth yang berjaya menemukan kaedah rawatan berkesan menangani jangkitan penyakit Malaria yang boleh membawa maut.

“Kisah-kisah di sebalik pengiktirafan inspirasi tokoh-tokoh tersebut telah menunjukkan peranan penting negeri Sabah dalam pembangunan negara.

“Peranan tersebut bukan sahaja daripada segi pelancongan, seni dan budaya, malah daripada segi saintifik, kesihatan dan alam sekitar juga.

“Ternyata Sabah telah menjadi pemangkin dalam menggalakkan perkembangan saintifik, marin, alam sekitar, perhutanan dan juga hidupan liar,”ujarnya.

George meneliti potret yang di pamerkan dalam majlis tersebut

George meneliti potret yang di pamerkan dalam majlis tersebut

Jaujan dalam ucapan yang dibacakan oleh pembantunya, George Hiew juga berharap semoga sokongan dan komitmen hadirin dalam memastikan usaha-usaha memartabatkan seni visual ini sentiasa berterusan.

Sebanyak 17 karya potret daripada Koleksi Seni PETRONAS dipamerkan di Balai Seni Lukis Sabah, memaparkan watak tersendiri penerima Anugerah Merdeka, dan melakarkan penghargaan terhadap sumbangan bakti tokoh-tokoh ini.

Dilancarkan pada tahun 2007, Anugerah Merdeka diasaskan oleh PETRONAS, Exxonmobil dan Shell merupakan anugerah paling berprestij di Malaysia bagi individu atau organisasi yang menunjukkan semangat merdeka dalam usaha mengejar kecemerlangan.

Rokiah Sulaiman

Rokiah Sulaiman

Dalam pada itu, Ketua Pejabat Wilayah Sabah dan Labuan Petronas, Rokiah Sulaiman berkata setakat 2018, seramai 53 penerima yang terdiri daripada individu dan organisasi telah menerima Anugerah merdeka dan di antaranya ialah Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, Allayarhamah Tun Fatimah Hashim, Mendiang Tan Sri P.G.Lim, Dato Kenneth Yeang dan Datin Paduka Mother Mangalam.

Menurutnya, pencapaian mereka ini bukan sahaja memberi impak dalam menyumbang kepada pembangunan negara tetapi juga menginspirasikan rakyat Malaysia ke arah usaha mencapai kecemerlangan.

Rokiah menyampaikan cenderahati kepada George(empat dari kanan)

Rokiah menyampaikan cenderahati kepada George(empat dari kanan)

“Adalah menjadi hasrat PETRONAS sebagai sebuah badan korporat untuk bersama-sama membangunkan modal insan negara walaupun teras perusahaan dan perniagaan kami adalah dalam bidang minyak dan gas.

“Penyelarasan kecemerlangan dalam bidang-bidang perdagangan dan perniagaan, teknologi dan kesenian adalah inti pati dalam falsafah korporat Petronas,”katanya.

Tambahnya, Sejak lebih 25 tahun Galeri Petronas telah memainkan peranan penting sebagai penyuntik semangat insaniah yang sejajar dengan falsafah dalaman Petronas untuk melahirkan keseimbangan dalam mengejar kemajuan dan pembangunan masyarakat yang berbudaya tinggi.

Salah seorang pengunjung yang kelihatan berminat dengan potret yang dipamerkan.

Salah seorang pengunjung yang kelihatan berminat dengan potret yang dipamerkan.

“Penyertaan kami melalui Galeri Petronas adalah untuk turut menyumbang dalam pembangunan seni dan budaya negara.

“Ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat,”katanya.

Turut hadir, Setiausaha Tetap, kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datu Rusmadi Datu Sulai; Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, William Baya; Pengarah Balai Seni Lukis Sabah, Jennifer Linggi dan pengarah Galeri Petronas, Intan Razak.

-FB

Tinggalkan komen anda