Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeNegeri Sembilan

Insiden Melibatkan Menteri Kabinet Tidak Seharusnya Berlaku

By 12 Oktober 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)    Foto : Ihsan Utusan Malaysia

PORT DICKSON, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) melihat insiden yang berlaku melibatkan menteri kabinet dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson tidak seharusnya berlaku dalam tempoh berkempen.

Pengerusi ERC, Tan Sri Ab. Rashid Abdul Rahman berkata, kehadiran Datuk Seri Wan Azizah dalam satu majlis makan percuma atas kapasiti isteri calon Harapan yang juga merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidaklah menjadi satu kesalahan namun, memperkenalkan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri jelas adalah tidak betul.

“Berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN), tidak banyak penyalahgunaan jentera kerajaan dilakukan ketika ini. Malah, kesalahan yang berlaku ini disifatkan sebagai tidak sengaja dan terikut akan amalan lama.

“Adalah jelas bahawa SPR tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat pelanggaran beberapa peraturan pilihan raya. Ini menjadi salah satu perkara yang sedang dikaji dan suatu bentuk pembaikan yang akan dimasukkan supaya SPR diberi kuasa yang lebih luas,” katanya yang ditemui siang tadi.

Abdul Rashid berkata, ERC telah menghantar 11 orang pemerhati yang terdiri daripada Jawatankuasa dan Sekretariat bagi PRK Port Dickson.

“Selain itu, kempen yang berlangsung sepanjang PRK kali ini berjalan lancar dan kami mengambil maklum akan kekangan di pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menjalankan tugas seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi SPR pada 5 Oktober yang lalu.

“Jawatankuasa sedang meneliti kaedah yang sesuai bagi memastikan peratusan keluar mengundi sentiasa berada di tahap yang memuaskan. Selain itu, Jawatankuasa Khas ini turut telah bersedia untuk menjalankan kajian berkaitan dengan 15 perkara untuk tujuan pembaikan system dan undang-undang pilihan raya,” tambahnya.

Jelasnya lagi, calon PRK Port Dickson turut mendapat peluang untuk menyuarakan kempen mereka di dalam media massa dengan lebih meluas dan hal ini jelas menunjukkan kerajaan sekarang menunaikan janji mereka untuk memberikan ruang kepada parti politik dalam menyebarkan pemahaman politik dalam kalangan masyarakat.

-SH

Tinggalkan komen anda