Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

‘Pesawat Terhempas’, Penduduk Kuching Cemas

By 13 Oktober 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan/foto:  Aishah Latip/  BOMBA (Sarawak)

KUCHING, 13 Okt (MalaysiaAktif) – Kawasan Perindustrian Samajaya, di sini gempar selepas sebuah pesawat penumpang dilaporkan terhempas pagi tadi.

Kejadian yang berlaku sekitar jam  8. 00 pagi itu turut menyebabkan berlakunya tumpahan minyak dan bahan kimia selain turut meranapkan sebuah bangunan pejabat dan kebakaran kilang.

Ekoran daripada insiden tersebut terdapat 10 mangsa berjaya dikenal pasti, dengan sebahagian besarnya mengalami kecederaan teruk, termasuk melecur dan ‘dikejarkan’ ke Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini untuk rawatan lanjut.

Sebahagian pihak penyelamat kesihatan menjalan 'secondary survey' sebelum mangsa dihantar ke hospital

Sebahagian pihak penyelamat kesihatan menjalan ‘secondary survey’ sebelum mangsa dihantar ke hospital

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menjangka lebih banyak mangsa akan ditemui, malah sudah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Bagaimanapun, semua yang berlaku pada pagi ini hanya sebahagian daripada Latihan Pengurusan Bencana D’MEX Peringkat Sarawak 2018 di bawah pengendalian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Khirudin Drahman berkata, latihan itu menggabungkan koordinasi agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kimia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kesihatan dan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

Sebahagian daripada Latihan Pengurusan Bencana D'MEX peringkat Sarawak 2018, di Kawasan Perindustrian Samajaya, Kuching

Sebahagian daripada Latihan Pengurusan Bencana D’MEX peringkat Sarawak 2018, di Kawasan Perindustrian Samajaya, Kuching

Beliau berkata, tujuan utama latihan itu diadakan adalah untuk menguji tahap kecekapan prosedur operasi standard (SOP) semua agensi dalam menghadapi bencana dan kecemasan berskala besar.

“Setakat ini, latihan masih diteruskan oleh pelbagai agensi untuk menyelamatkan ‘mangsa’ yang terbabit dalam insiden ini.

“Ia diadakan setiap tahun untuk memastikan kesiapsiagaan agensi berdepan dengan insiden kecemasan pada bila-bila masa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Majlis Penutupan Latihan Pengurusan Bencana D’MEX Peringkat Sarawak 2018 akan dirasmikan Ketua Pengarah JBPM, Bomba Mohd Hamdan Wahid pada petang ini di Zon Bebas Perindustrian Samajaya, Kuching. 

-ER

Tinggalkan komen anda