Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Bunga Kesidang Antara Sembilan Jenis Bunga Dalam Istiadat Siram Tabal

By 15 Oktober 2018Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Noor Azian Saad (Kota Setar)/fotopenerangan

ALOR SETAR, 15 Okt (UdaBayas) – Bunga kesidang yang juga dikenali sebagai bunga kerak nasi manakala di kawasan pantai timur Malaysia dikenali dengan nama bunga tikam seladang yang merupakan bunga yang berwarna putih dan berbau wangi seakan-akan bau daun pandan.

Baunya yang juga seakan-akan bau nasi, menjadikan namanya dikenali juga sebagai bunga kerak nasi. Warnanya yang putih dan jambak bunganya seperti kerak nasi menjadikan bunga ini dijadikan salah satu ramuan dalam bunga rampai.

Bunga kesidang yang turut dikenali sebagai bunga kerak nasi dan bunga tikam seladang digunakan dalam Istiadat Siram Tabal Sultan Kedah.

Bunga kesidang yang turut dikenali sebagai bunga kerak nasi dan bunga tikam seladang digunakan dalam Istiadat Siram Tabal Sultan Kedah.

Bunga kesidang turut digunakan bersama sembilan jenis bunga lagi iaitu bunga cempaka kuning, bunga melur, bunga melati, bunga kenanga, bunga lili, bunga mawar kuning, bunga kekwa dan bunga harum malam di dalam Istiadat Siram Tabal Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff.

Istiadat ini diadakan bersempena Pertabalan Sultan Kedah ke-29 yang dijadualkan berlangsung pada 22 Oktober ini di Istana Anak Bukit.

Datuk Jaya Budiman, Datuk Paduka Mohd Puat Mohd Ali bersama-sama Mufti Negeri Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang telah memulakan istiadat dengan perarakan masuk air mata air dan air zamzam dan diikuti oleh Imam Masjid Negeri, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim Al-Hafiz.

Pegawai Daerah yang membawa 12 batil perak berisi sumber air daripada 12 mata air yang terdapat di kawasan tanah tinggi di daerah masing-masing manakala Datuk Bandar, Datuk Mohd Zohdi Saad membawa satu batil emas berisi air zam zam.

Air mata air itu terdiri daripada air mata air dari Gunung Keriang (Alor Setar), Air Terjun Tupah (Kuala Muda), Ulu Riau Sedim (Kulim), Bukit Perangin (Kubang Pasu), Gunung Inas (Baling), Hutan Simpan Rimba Teloi (Sik), Air Terjun Seraya (Padang Terap), Telaga Tujuh, Padang Matsirat (Langkawi), Puteri Mandi Gunung Jerai (Yan), Bukit Ulu Jawi Relau (Bandar Baharu), Sungai Rambai Bukit Perak (Pendang) dan dari sebuah telaga di Kampung Budi, Mukim Lesong (Pokok Sena).

Tuanku Sultan dan Sultanah diiring ke Dataran Kepala Tanjung, Istana Anak Bukit, di sini.

Tuanku Sultan dan Sultanah diiring ke Dataran Kepala Tanjung, Istana Anak Bukit, di sini.

Kesemua air mata air serta air zam zam itu telah dikumpulkan ke dalam tiga buah tempayan di atas Pancapersada iaitu tempayan yang digelar Air Siram Taubat, Air Siram Selamat dan Air Siram Syukur dan istiadat diteruskan dengan 10 Pegawai Tadbir Negeri Wanita berarak masuk dengan sembilan daripadanya membawa batil berisi sembilan jenis bunga setiap satu untuk dimasukkan ke dalam tempayan di Pancapersada bagi digaul sebati.

Datuk Johan Jasa Kolonel Datuk Tunku Aziz Bendahara Tunku Nong Jiwa telah mengetuai perarakan masuk pawai-pawai diraja ke atas Pancapersada.

Tunku Bendahara Kedah telah berkenan menabur bunga rampai dan merenjis air mawar kepada baginda berdua sebagai tanda bermulanya istiadat tersebut, manakala Syeikh Roslan telah membacakan doa sebelum Istiadat Siram Tabal itu dijalankan. Semasa istiadat siram tabal berlangsung, Nobat turutdipalu dengan lagu ‘Gendang Anak’.

Tunku Nafisah bersama Tunku Kamaliah berkenan menyiram air daripada ketiga-tiga tempayan itu ke atas Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha dengan diikuti siraman terakhir oleh Mufti Kedah ke atas baginda berdua, dan mengakhiri istiadat Syeikh Fadzil mengadap baginda berdua dan terus melafazkan doa dan Ketua Istiadat telah mengadap baginda berdua dan mempersembahkan bahawa istiadat tersebut telah selesai.

Majlis yang berlangsung dengan penuh istiadat ini jarang sekali dapat disaksikan kerana hanya akan dilakukan apabila bermula istiadat pertabalan sultan/raja-raja Melayu sahaja.

Di negeri Kedah, istiadat siram tabal ini merupakan peristiwa bersejarah memandangkan kali terakhir diadakan 59 tahun lalu iaitu ketika Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ditabalkan sebagai Sultan Kedah ke-28.

Tinggalkan komen anda