Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Disebalik Majlis Perkahwinan Yang Sempurna

By 17 Oktober 2018Tiada komen5 minit bacaan

Laporan oleh: Fauzrina Bulka/ Foto: Azman Jumat (Sabah)

 

KOTA KINABALU, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Setiap bakal mempelai pastinya impikan majlis perkahwinan yang sempurna untuk dijadikan memori indah hingga penghujung usia.

Persiapan pula pasti dilakukan dengan berhati-hati, mungkin juga berbulan-bulan demi memastikan lokasi dipilih dengan tepat bersama hiasan yang indah, jamuan yang enak serta kehadiran keluarga dan teman rapat untuk berkongsi saat istimewa itu yang hanya dirasai sekali seumur hidup.

Pemilik DGI, Alyaa Anne Joe Abdullah

Pemilik DGI, Alyaa Anne Joe Abdullah

Menurut pemilik D’Glam Inspired (DGi), Alyaa Anne Joe Abdullah, 30 rentetan senarai yang panjang untuk dipersiapkan, kebanyakan pasangan lebih selesa mengupah Perancang Perkahwinan seperti dirinya untuk memastikan segala-galanya tersedia mengikut pilihan mereka.

Namun begitu menurutnya, banyak cabaran, air mata dan peluh yang tumpah di sebalik majlis perkahwinan yang gah yang perlu dihadapi oleh seorang perancang perkahwinan.

“Untuk menjadi seorang perancang perkahwinan bukan sahaja perlu sentiasa mengikut trend semasa, tetapi yang paling utama ialah perlu ada persiapan mental, kerana jika tiada kekuatan, pasti akan rebah.

“Saya sudah puas ditularkan, dipertanggungjawabkan atas kesalahan orang lain, membayar ganti rugi walaupun bukan kesalahan saya tetapi masih berdiri tegak kerana ini punca pendapatan saya.

6

“Bermula pada 2012, katering yang saya lakukan hanya secara kecil-kecilan, masak sendiri di rumah selama setahun lebih, sebelum menerima tempahan pertama untuk majlis perkahwinan untuk 700 orang tetamu.

“Kemudian saya terima pula tempahan seterusnya dan berjaya lakukannya berdua dengan suami, hingga saya mengambil keputusan untuk menggadaikan barang kemas saya untuk membeli peralatan untuk membuat katering,”kata Anne memulakan bicara.

Jelas Anne, bukan mudah membuat persiapan dengan tenaga dua orang sahaja, kerana persiapan perlu dilakukan tiga hari lebih awal dengan membeli bahan mentah, memasak dan menghantar makanan ke lokasi, serta menamatkannya dengan mencuci pinggan mangkuk selepas majlis, tetapi kerana minat, mereka hadapi sahaja semua.

_AZJ4915

Anne kemudiannya melengkapkan diri dengan menyertai kursus sebagai perancang perkahwinan selama tiga bulan dan mengambil 12 orang pekerja serta melengkapkan mereka dengan kursus pengendalian makan dan mewajibkan suntikan imunisasi tifoid pada yang sudah tamat persekolahan.

“Saya sangat menitikberatkan soal penyediaan makanan, ini untuk memastikan makanan yang dihidangkan sedap, cukup, berkualiti dan tahan lama kerana kami mahu elakkan masalah makanan cepat basi ataupun tidak mencukupi untuk jemputan yang hadir.

“Semasa perbincangan dengan pelanggan, kebiasaannya saya akan mencadangkan menu yang sesuai dengan keadaan persekitaran lokasi yang akan digunakan, kerana jika ikut kehendak pelanggan mereka akan pilih yang sedap-sedap sahaja, tetapi pemilihan menu sangat penting untuk mengelakkan makanan cepat basi.

9

“Contohnya jika majlis akan dibuat di dewan yang tertutup dan menggunakan penyaman udara, menu yang berasaskan santan tidak akan mendatangkan masalah berbanding dibuat di bawah khemah dengan cuaca yang panas, makanan bersantan akan cepat berbuih dan basi,”kongsi Anne.

Malahan dia juga sering memasak lebih daripada amaun yang ditempah dan akan dikeluarkan selepas dua jam majlis berjalan jika dilihat makanan tidak cukup dan tetamu melebihi jangkaan tuan rumah.

Menurut Anne, dia menceburkan diri dalam bidang pelamin pula sejak tahun lepas dan melabur pada rakan kongsi yang mengendalikan sepenuhnya soal itu kerana menumpukan pada katering makanan.

10

Perkiraannya segala-galanya berjalan lancar hingga masalah timbul dan ada pelanggan yang membuat aduan dan menularkannya hingga beliau mengambil keputusan untuk mengendalikan perniagaan ini sepenuhnya.

“Sekarang ini corak majlis cenderung kepada perkahwinan di rimba, bercirikan tropika dan pelanggan sukakan majlis yang tidak banyak melibatkan bunga-bungaan atau warna-warni tetapi bersifat natural.

“Satu kelebihan juga kerana kita berada di Sabah yang dikelilingi hutan rimba yang terpelihara, tumbuhan-tumbuhan yang semula jadi dan penggunaannya dapat mengurangkan kos untuk perkahwinan berkonsep terbuka,”katanya.

8

Tambahnya, dia menjadi Perancang Perkahwinan ini untuk memudahkan urusan orang lain tanpa mengharapkan keuntungan semata-mata, kerana menurutnya sebuah perkahwinan yang sempurna bukan dari majlis yang gah tetapi tiada kebahagiaan kerana kebahagiaan itu hanya apabila sudah diijabkabulkan.

Dalam pada itu, Pengurus Acara DGi, Emran Saban, 22 berasa bertuah bekerja di bawah majikannya kerana dia bersama pekerja sambilan yang lain turut mempelajari pelbagai ilmu berkaitan bidang itu.

“Kesemua pekerja ini berasal dari Tambunan dan lebih muda daripada saya dan rata-ratanya bermasalah di sekolah, bermasalah dalam pelajaran dan semenjak terlibat dengan kami nampak perubahan mereka terutama daripada segi penampilan dan keyakinan diri.

11

“Kami menggalakkan mereka belajar cara berkomunikasi dan mengawal sesuatu situasi untuk mereka mempersiapkan diri kerana segala-galanya akan di aplikasikan pada masa depan dan untuk dikongsi dengan orang lain.

“Alhamdulillah buktinya mereka sudah memberi inspirasi pada kawan-kawan malahan lebih ramai pula yang berminat untuk sertai keluarga kecil kami,”ujar Emran.

Katanya juga, galakan penuh dan respons positif turut diberikan oleh pihak sekolah dan keluarga kerana maklum mereka bukan sekadar bekerja tetapi juga menimba ilmu kerana di usia seawal 14 tahun sudah ada yang memiliki sijil-sijil pelbagai jenis kursus.

“Mereka memang dicemburui oleh rakan-rakan, minat mereka dalam bidang ini di luar jangkauan, daripada seorang yang bermasalah secara tidak langsung kerja membuat pelamin ini telah membantu untuk melembutkan hati mereka.

Pengurus Acara DGI, Emran Saban

Pengurus Acara DGI, Emran Saban

“Pendapatan yang diperoleh sekitar RM50 hingga RM80 setiap majlis mereka gunakan untuk membeli kasut sekolah yang telah bertahun digunakan, juga pakaian sekolah yang selama ini dikongsi bersama adik-beradik yang lain.

“Sebenarnya kes-kes yang tular mengenai majikan saya itu memberi impak yg besar kepada kami sebagai pekerja kerana ramai pelanggan yang menarik balik bayaran deposit sehingga gaji kami tidak dapat diberi.

“Tapi mujur pekerja-pekerja tidak pernah persoalkan tentang bayaran gaji kerana tujuan mereka bekerja adalah untuk mencari pengalaman,”jelas Emran.

Pelayan- pelayan muda yang bekerja sambil mencari pengalaman.

Pelayan- pelayan muda yang bekerja sambil mencari pengalaman.

Majikan mereka juga turut menjanjikan ruang pekerjaan pada pekerja-pekerja ini selepas sahaja mereka menamatkan pembelajaran di sekolah menengah dan turut menyokong jika mereka ingin melanjutkan pelajaran.

Emran juga turut memohon pada masyarakat yang gemar menularkan sesuatu perkara tanpa menyelidik terlebih dahulu agar berfikir banyak kali sebelum melakukannya kerana ia bukan sahaja boleh menjejaskan perniagaan seseorang tetapi turut memberi impak kepada pekerja-pekerja yang tidak tahu apa-apa.

“Kami ikhlas bekerja untuk menyempurnakan majlis orang, tetapi di sebalik itu, banyak kehidupan yang perlu dijaga dan banyak juga mulut yang ingin disuap dengan rezeki yang halal,”kata Emran.

5

Mereka ditemui ketika mengadakan pameran terbuka di Pantai Tanjung Aru bersama vendor-vendor yang sering bersama dalam pakej lengkap perkahwinan yang ditawarkan seperti khidmat busana, jurusolek, ukiran henna, lukisan potret, juruaudio, juruvideo, jurufoto dan katering makanan.

Mereka turut berasa bertuah kerana Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) membenarkan pameran itu diadakan di tepi pantai dan menggalakkan penganjurannya demi membantu menarik perhatian pelancong dengan syarat kebersihan pantai terjaga selepas sahaja pameran selesai diadakan.

d61dc12b-2969-43ba-b53b-297deeb28faf

Pada pameran itu juga mereka turut menghulurkan sumbangan kepada mualaf dan anak yatim berupa wang tunai dan barangan dapur.

 

 

 

-FB

Tinggalkan komen anda