Main Peranan Tangani Isu Jenayah – Uda

5d7fbad1-47aa-4a72-bb20-7dd07aaa0d7f
Laporan oleh: Fauzrina Bulka/Foto: Azman Jumat(Sabah)

PUTATAN, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Rakyat di negeri ini diminta untuk memainkan peranan masing-masing bagi menangani isu jenayah dan gejala penyalahgunaan dadah dengan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa.

Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Uda Sulai berkata, sikap enggan mengambil tahu terhadap persekitaran yang terdedah kepada ancaman jenayah atau penyalahgunaan dadah haruslah dielak supaya masyarakat lebih bertanggungjawab menangani gejala negatif itu dari peringkat akar umbi.

Beliau berkata, ramai pihak turut mengambil sikap sambil lewa dengan menyerahkan ‘bulat-bulat’ tugas menangani permasalahan berkenaan kepada pihak berkuasa atau polis sahaja tanpa mengambil berat mengenai persekitaran mereka.

UDA (kanan) menerima cenderahati daripada Pengerusi PPDJS; Jofri Ebrahim (kiri) dalam majlis tersebut.

UDA (kanan) menerima cenderahati daripada Pengerusi PPDJS; Jofri Ebrahim (kiri) dalam majlis tersebut.

“Secara umumnya, ramai di kalangan masyarakat masa kini tidak memainkan peranan secara menyeluruh dalam menangani isu gejala penyalahgunaan dadah dan jenayah ini dan meletakkan beban berkenaan kepada pasukan keselamatan atau polis sahaja.

“Ini yang menjadikan aktiviti negatif tersebut semakin menular dikalangan masyarakat memandangkan kita buat-buat tidak tahu atau tidak dengar dan menyerahkannya kepada pihak polis sahaja meskipun ada kejadian jenayah atau sesuatu mencurigakan berlaku di hadapan kita.

“Saya menyeru, masyarakat terutamanya di daerah Putatan ini untuk mengamalkan sikap ambil peduli dan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa supaya aktiviti jenayah dan penyalahgunaan dadah ini dapat ditangani dari semasa ke semasa,”katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 18 Petagas itu berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS) di Hotel Pan Borneo, Putatan, Rabu malam.

Hadir sama adalah Pengerusi PPDJS,Jofri Ebrahim; Penaung PPDJS, Datuk Karam Singh Walia dan Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Haris Ibrahim.

Mengulas mengenai majlis itu, Uda berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada barisan pimpinan persatuan PPDJS kerana berani tampil memberikan bantuan kepada pihak kerajaan dalam menangani isu-isu jenayah dan penyalahgunaan dadah di negeri ini.

“Bagi pihak kerajaan negeri, penyertaan seperti ini amatlah dialu-alukan sama sekali supaya dapat diterjemahkan dan disampaikan kepada masyarakat umum.

“Saya dimaklumkan sudah menerima kelulusan ROS baru-baru ini dan antara visi serta tujuan PPDJS ini adalah sebagai organisasi bebas dan sukarela dalam usaha menyokong mana-mana pihak membenteras kegiatan penyalahgunaan dadah dan jenayah di negeri Sabah secara amnya,”katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...