Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajayaWilayah Persekutuan

Enam Tonggak Utama Digariskan Dalam KSP RMK-11

By 18 Oktober 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Edi Rizam Kassim/Jabatan Penerangan (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, membentangkan enam tonggak utama dalam Kajian Separuh Penggal(KSP) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), 2016-2020 yang dibentangkan ke Kabinet hari ini.

Dalam tonggak pertama, ‘Mereformasi Tadbir Urus ke Arah Meningkatkan Ketelusan dan Kecekapan Perkhidmatan Awam’, kerajaan menekankan tiga keutamaan iaitu menambah baik tadbir urus dalam semua peringkat, meningkatkan integriti dan akauntabiliti, dan menguatkuasakan pelaksanaan pengurusan kewangan awam secara berhemat.

“Kerajaan bertekad untuk meningkatkan integriti dan akauntabiliti serta membanteras gejala rasuah secara menyeluruh yang melibatkan sektor awam dan swasta. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ditransformasi sebagai sebuah badan bebas sepenuhnya dan Akta SPRM 2009 akan dikaji semula secara menyeluruh.

“Undang undang pencegahan rasuah juga akan diperkukuh dengan mengkaji semula Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010,” katanya di Parlimen.

Sementara itu dalam tonggak kedua, Kerajaan optimis ‘Memperkukuh Pembangunan Inklusif dan Kesejahteraan Rakyat’ dan menekankan dua keutamaan; meningkatkan inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Enam tonggak utama digariskan dalam KSP RMK-11 kali ini.

Enam tonggak utama digariskan dalam KSP RMK-11 kali ini.

“Pelbagai inisiatif akan dilaksana bagi meningkatkan kuasa beli rakyat dan mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup. Tumpuan juga akan diberi untuk membendung kenaikan harga barang melalui pelbagai langkah seperti kawalan harga, mempergiat penguatkuasaan dan mempertingkat tahap konsumerisme,” tambahnya.

Tonggak ketiga yang dibentangkan ‘Menuju Ke Arah Pembangunan Wilayah Yang Seimbang’, memerlukan semua negeri untuk maju bersama dan kerajaan tidak akan membiarkan mana-mana negeri tertinggal di belakang dengan memperkenalkan kembali agenda pembangunan wilayah yang seimbang sebagai keutamaan.

“Selaras dengan ini, kerajaan akan memastikan peruntukan pembangunan yang lebih saksama kepada negeri Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis supaya mencapai pembangunan yang lebih setara,” ujarnya lagi.

Antara toggak lain yang dibentangkan adalah ‘Memperkasa Modal Insan’, ‘Mempertingkat Kemampanan Alam Sekitar Melalui Pertumbuhan Hijau’ dan ‘Memperkukuh Pertumbuhan Ekonomi’.

Kajian Separuh Penggal ini juga merupakan dokumen dasar pertama kerajaan menggariskan keutamaan dan penekanan baharu agar falsafah, dasar dan strategi pembangunan seiring dengan aspirasi rakyat dan azam kerajaan.

-SH

Tinggalkan komen anda