Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

KBS Beri Peluang Kedua Kepada Banduan Melalui Projek Reben Kuning

By 19 Oktober 2018Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SUNGAI BULOH, 19 Okt (Malaysiaaktif) – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memulakan langkah awal menyediakan peluang kepada bekas banduan memulakan kehidupan baharu melalui latihan dan peluang pekerjaan di kementerian tersebut.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata cadangan itu bagi memberi contoh kepada pihak tertentu untuk memberi peluang kedua kepada golongan bekas banduan dan sekali gus mengubah stigma masyarakat.

“Saya ingin memberi isyarat bahawa sekiranya menteri memberi peluang, syarikat luar mahupun kementerian lain juga boleh membuat perkara yang sama.

Syed Saddiq menandatangani plak perasmian Projek Reben Kuning di Penjara Sungai Buloh, hari ini.

Syed Saddiq menandatangani plak perasmian Projek Reben Kuning di Penjara Sungai Buloh, hari ini.

“Cadangan itu sebagai memberikan contoh kepada pihak luar untuk memberikan peluang kepada golongan itu supaya tak terjerumus mengulangi kesalahan sama, jika kita tidak beri mereka peluang bagaimana kita harapkan mereka mendapat halatuju yang betul,” katanya.

Syed Saddiq (kanan) ketika sesi dialog bersama banduan Penjara Sungai Buloh.

Syed Saddiq (kanan) ketika sesi dialog bersama banduan Penjara Sungai Buloh.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq memaklumkan perkara itu akan dibincang lebih lanjut bersama agensi kerajaan lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat swasta.

“Lebih baik kita tawarkan peluang pekerjaan ini kepada bekas banduan berbanding mengambil warga asing untuk bekerja di negara ini.

Syed Saddiq (kanan) bersembang dengan banduan belia di Penjara Sungai Buloh, petang tadi.

Syed Saddiq (kanan) bersembang dengan banduan belia di Penjara Sungai Buloh, petang tadi.

Menurutnya, beliau sendiri telah menawarkan tiga bekas banduan di pejabatnya sebagai membuktikan beliau serius membantu golongan itu.

“Kita beri masa tiga hingga enam bulan untuk mereka (bekas banduan) menyesuaikan diri dengan pekerjaan tersebut, jika serasi kita tawarkan pekerjaan tetap.

“Sekiranya ada peluang dan disokong keluarga, mereka mampu bangkit dan membentuk menjadi insan mulia melalui kerjasama semua pihak,” katanya semasa melancarkan Projek Reben Kuning #peluangkedua di Penjara Sungai Buloh, di sini hari ini.

Projek tersebut merupakan inisiatif baharu KBS bersama NGO melalui kempen kesedaran memberi peluang kedua kepada semua banduan yang di kategori golongan belia.

Dalam majlis tersebut, Syed Saddiq turut mengadakan sesi dialog bersama banduan hampir 45 minit sambil bermesra dengan golongan tersebut yang turut dihadiri Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar.

-NAZ

Tinggalkan komen anda