Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Bahtera Diraja ‘Layang Emas’ Dipertontonkan Kepada Umum

By 20 Oktober 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Noor Azian/Unit Fotografi JaPen

ALOR SETAR, 20 Okt (Malaysiaaktif) – Sekian lama menyepi sejak tahun 1959, hari ini Bahtera Diraja ‘Bahtera Layang Emas’ dipertontonkan kepada umum, khasnya masyarakat di negeri Kedah semasa Istiadat Perarakan dan Kawalan Kehormatan sempena Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah ke-29.

Perarakan bahtera, diiringi 40 orang penghulu-penghulu mukim dan 20 orang Pegawai Tadbir Negeri yang bermula dari Dataran Wisma Darulaman ke Dataran Medan Bandar, di sini telah mendapat perhatian masyarakat berbilang bangsa dan kaum yang datang dari seluruh pelusuk negara.

Lambaian Kasih dari Tuanku Sultan dan Sultanah Kedah.

Lambaian Kasih dari Tuanku Sultan dan Sultanah Kedah.

Orang ramai yang dianggarkan seramai 10,000 orang telah membanjiri laluan sepanjang 3.2 kilometer sejak tujuh pagi bagi mengabdikan kenangan dan menyaksikan acara yang amat bersejarah ini.

Bahtera yang dinamakan ‘Layang Emas’ melambangkan kehebatan raja-raja Melayu menakluki lautan. Kehebatan ini telah disebut dalam pelbagai bentuk penulisan termasuklah ‘Hikayat Merong Mahawangsa’ dan ‘Hikayat Hang Tuah’.

Elemen utama bahtera ini ialah seni bina Balai Besar yang merupakan pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah sejak kurun ke-19 lagi.

Tiga ekor gajah lambang kemegahan dan kekuatan Kesultanan Melayu turut dipertontonkan kepada umum.

Tiga ekor gajah turut dipertontonkan kepada umum.

Keunikan seni reka bahtera ini ialah menerapkan unsur abstrak yang menyerupai burung helang, flora dan fauna serta alunan air.

Pada bahagian atas bahtera ini berbentuk selembayung juga dikenali sebagai tanduk buang. Manakala atap perabung pula diinovasikan daripada seni bina tradisi berbentuk pucuk rebung.

Bahtera yang dipertontonkan hari ini mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan dan merupakan bahtera terpanjang pernah dibina dan telah menerima pengiktirafan anugerah Malaysia Book Of Records.

-SH

Tinggalkan komen anda