Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeNegeri Sembilan

110 Anak Angkat Meriahkan Felda Bukit Jalor

By 20 Oktober 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto : Daniel Jong/Mohd Khairulnizam Mohd Yunus (Seremban)

TAMPIN, 20 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 110 peserta yang melibatkan 52 keluarga angkat di sini menyertai Program Pewaris Muda Negara Peringkat Negeri Sembilan 2018 yang diadakan di Felda Bukit Jalor.

Salah seorang keluarga angkat, Jamrus Md Nor, 61, berkata ini pertama kali bagi dirinya menyertai program anak angkat seperti ini.

Peserta bergambar bersama keluarga angkat masing- masing.

Peserta bergambar bersama keluarga angkat masing- masing.

“Bagi saya ia satu pengalaman baharu, kalau sebelum ini kita hanya menjaga anak sendiri. Kini selama tiga hari, saya dan isteri ada tanggungjawab besar kerana harus menjaga anak angkat yang datangnya daripada pelbagai kaum.

“Saya sendiri mendapat anak angkat Melayu dan Cina. Saya harap dapat merapatkan mereka berdua kerana itu merupakan asas perpaduan,” ujarnya ketika majlis penyerahan semalam.

Jamrus sendiri mempunyai tiga anak yang kesemuanya telah bekerja di ibu negara yang juga merupakan ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di felda ini.

Seorang lagi penduduk yang terlibat, Selamah Mat Sidil, 64, beliau cukup gembira dapat menerima anak angkat kerana ia sedikit sebanyak dapat mengubati kesunyian sejak suaminya meninggal tahun lepas.

Antara aktiviti yang turut diadakan sempena program kali ini.

Antara aktiviti yang turut diadakan sempena program kali ini.

“Saya berasa gembira kerana ada yang temankan selama tiga hari nanti. Saya terharu keraba mereka berdua suka ayam masak lemak cili api yang saya buat untuk makan malam tadi.

“Teringat juga dengan cucu dan anak-anak di bandar. Kalau ada anak-anak angkat yang nak datang ziarah dan duduk disini, makcik sentiasa alu-alukan,” katanya.

Salah seorang peserta program, Zainol Ariff Jalaluddin, 20, berkata program ini juga memberi peluang kepada dirinya untuk merasai kehidupan masyarakat luar bandar, khususnya penduduk felda.

“Seperti saya yang berasal dari Kuala Lumpur, memang tidak pernah nerasa suasana di kampung.

“Masa nak makan tadi, saya agak kekok makan dengan tangan dan duduk bersila, tapi saya turutkan juga kehendak keluarga angkat buat, sebab saya nak rasa cara orang lama dulu makan,” ujarnya yang turut gembira kerana dapat mengenal kawan-kawan baharu dari tempat lain.

Fadil Shariff ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Fadil Shariff ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis perasmian tersebut.

Sementara itu Penolong Pengarah Penerangan Negeri, Mohd. Fadil Shariff, berkata kesemua alumni pewaris muda ini akan dijadikan sebagai rakan strategik bagi membantu Jabatan Penerangan dalam memasarkan dasar-dasar kerajaan.

“Kita memang aturkan program ini di kawasan pedalaman kerana kita mahu memberi ruang kepada peserta untuk merasai kehidupan penduduk desa.

“Setakat ini peserta tahun lepas kita lihat masih lagi aktif dan giat berkongsi infografik yang disediakan oleh Jabatan Penerangan. Tugas mereka bukan hanya tamat pada program ini saja. Bila keluar, mereka membantu jabatan menularkan maklumat dasar kerajaan yang kami sediakan,” katanya.

Majlis telah dirasmikan Ahli Parlimen Tampin, Dr. Hassan Bahrom di Masjid Felda Bukit Jalor.

-SH

Tinggalkan komen anda