Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeNegeri Sembilan

Pewaris Muda Negeri Sembilan Terap Nilai- Nilai Murni

By 21 Oktober 2018Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/ foto: Suzilawati Kamarudin (Seremban)/ Mohd Khairulnizam Yunus

TAMPIN, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Program Pewaris Muda Peringkat Negeri Sembilan 2018 melabuhkan tirainya pada hari ini. Seramai 110 orang mahasiswa dari Universiti Teknologi MARA Cawangan Seremban 3,  Politeknik Nilai dan Port Dickson berkampung selama tiga hari dua malam di Felda Bukit Jalor bersama keluarga angkat masing-masing.

Anak-anak dan keluarga angkat senamrobik bersama.

Anak-anak dan keluarga angkat senamrobik bersama.

“Anak-anak pewaris suatu hari nantilah yang akan membangunkan negara, bangsa dan agama. Bila anak-anak ini menjadi pemimpin masa hadapan nanti, bangunkanlah pembangunan di desa ini, jadilah pemimpin yang berfikiran positif, sempurna mental dan fizikal. Jagalah perpaduan  negara kita untuk masa hadapan”, kata Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Sabarudin Yeop Hamza dalam ucapan perasmian penutup sebentar tadi.

“Sebagai anak muda mainkanlah peranan di media sosial dengan bijak. Tak pasti jangan kongsi. Sebarkan berita yang sahih dan baik sahaja”, tambahnya lagi.

Menurut seorang mahasiswa, Maralyn Sia Anak Daviol Jupong, pengalaman ini mengajarnya cara menyesuaikan diri dengan orang dan persekitaran baru.

“Saya perlu menjadi contoh teladan yang baik kepada adik-adik angkat saya agar kelak mereka juga menyambung pelajaran ke menara gading. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Penerangan Negeri Sembilan dan penganjur kerana telah memberikan pengalaman yang tidak ternilai ini. Keramahan dan kemesraan emak dan adik-adik angkat saya membuatkan saya senang bersama mereka hinggakan perbezaan budaya serta agama langsung tidak dirasai. Saya akan rindukan mereka nanti”, ujar Maralyn.

Acara sukaneka boling padang menggunakan buah kelapa.

Acara sukaneka boling padang menggunakan buah kelapa.

Pelbagai pengisian berbentuk ilmiah dan santai mengeratkan silaturrahim kekeluargaan dalam kalangan peneroka Felda Bukit Jalor ini telah  berjaya mencapai salah satu objektif program iaitu mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat serta menerapkan nilai-nilai murni sepanjang program berlangsung.

Sementara itu, Norwati Hamdan, 51 tahun berkata “Saya berharap, anak-anak yang menyertai program ini akan terus berjaya  dalam kehidupan mereka. Semoga ada sesuatu yang elok dan baik dari tempat ini dapat mereka pelajari. Cepat betul masa berlalu, sekejap rasanya saya bersama empat orang anak angkat saya”, katanya ketika majlis penutup ini.

Terdahulu para peserta Pewaris Muda telah berganding bahu bergotong-royong membersihkan kawasan Felda Bukit Jalor dan menjayakan aktiviti sukaneka antara mahasiswa dan penduduk setempat.

Turut diadakan gotong-royong memasak dan  Layar Bestari@Wayang Pacak di Dewan Orang Ramai Felda Bukit Jalor. Selain itu, forum, Zikir As-Maul Husna, solat berjamaah dan tazkirah serta program berbentuk kesihatan seperti Senamrobik dan Berjalan Kaki 10,000 Langkah bersama KOSPEN juga telah dijayakan bersama-sama.

 

-KN

Tinggalkan komen anda