Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Wartawan Dan Jurugambar Terima Pengiktirafan

By 21 Oktober 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Genda Sating/Jaed Tepus (Sarawak) 

KUCHING, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 11 wartawan dan jurugambar telah menerima pengiktirafan di Malam Penghargaan Media Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Anugerah Media Pembinaan CIDB 2018 (AMP 2018) Negeri Sarawak.

Majlis penyampaian anugerah yang dihadiri lebih 100 wartawan dan jurugambar negeri Sarawak ini telah disempurnakan Menteri Kerja Raya Malaysia, Baru Bian di sini, malam tadi.

Baru Bian ketika menyampaikan ucapan perasmian

Baru Bian ketika menyampaikan ucapan perasmian

Baru Bian ketika berucap malam tadi berharap kementerian dan media terus bekerjasama dan saling berinteraksi dalam menyebarluas maklumat dan pembangunan halatuju infrastruktur negara kepada rakyat.

Dalam Majlis ini, Kategori Media Cetak dan Portal Berita dan Media Penyiaran Televisyen dan Video Dalam Talian dibolot oleh Kumpulan Media Prima.

Bagi kategori Media Cetak dan Portal Berita (Berita dan Rencana) tempat pertama dimenangi oleh Borneo Post menerusi wartawannya, Rachel Lau Ker Qing dengan karya bertajuk ‘China’s Belt and Road : What’s in it for Malaysia?’.

Manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi Kumpulan Media Prima, Berita Harian menerusi wartawannya, Mohd Latif Ahmad dan Muhd Amirul Faiz Ahmad.

 

Manakala bagi kategori Media Penyiaran Televisyen dan Video Dalam Talian, tempat pertama dimenangi oleh RTM Sibu menerusi wartawannya, Ruth Ampong dan Johnny Bilon menerusi lliputannya, ‘Pan Borneo Jajaran Sungai Awik’.

Sementara tempat kedua dan ketiga dimenangi Kumpulan Media Prima, TV3 Sarawak menerusi liputan berita ‘Jalan Pesisir Nadi Baharu Laluan Darat Sarawak’ dan ‘Nafas baru menaik taraf sekolah pendalaman’.

Kategori Fotografi hanya terdapat dua pemenang. Tempat pertama dimenangi, The Star menerusi jurugambarnya Zulazhar Sheblee, dengan gambar bertajuk ‘Into the Sunset – A view of the Pan Borneo’ disusuli oleh jurugambar BERNAMA Kuching, Muhamad Razali Nordin bagi tempat kedua dengan gambarnya yang bertajuk ‘Empangan Bakun Diserah Kepada Kerajaan Negeri’.

Kesemua pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, RM3,000 dan RM2,000 beserta sijil dan trofi.

Kesemua penyertaan AMP CIDB yang dinilai perlulah berkisar tentang CITP dan industri pembinaan.

Baru Bian serta tetamu kenamaan merakam gambar bersama wartawan dan jurugambar yang hadir

Baru Bian serta tetamu kenamaan merakam gambar bersama wartawan dan jurugambar yang hadir

CITP merupakan agenda nasional yang bertujuan untuk memperkasakan industri pembinaan Malaysia menjadi lebih moden, berproduktiviti tinggi dan mampan melalui empat teras strategik utama iaitu Kualiti, Keselamatan dan Profesionalisme; Kemampanan Alam Sekitar; Produktiviti dan Antarabangsa.

Penyertaan terbuka kepada semua wartawan arus perdana di tiga lokasi liputan iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Setiap kawasan liputan mempertandingkan tiga kategori iaitu, kategori Media Cetak dan Portal Berita (Berita dan Rencana), Kategori Media Penyiaran Televisyen dan Video Dalam Talian dan Kategori Fotografi.

Pada tahun ini, antara liputan media yang diiktiraf di AMP CIDB 2018 Sarawak merangkumi topik-topik berasaskan pembinaan di Negeri Sarawak seperti Penjanaan Kuasa, Lebuhraya Pan-Borneo dan Empangan Bakun.

Hadir sama dalam acara tahunan KKR dan agensi di bawahnya itu adalah Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Dato’ Sri Zohari Akob dan Ketua Eksekutif CIDB, Dato’ Ahmad ‘Asri Abdul Hamid

Tinggalkan komen anda