Skip to main content
HomeJohor

Lima Orang Kawan Saya Terkorban Diserang Komunis – Ahmad

By 29 Oktober 2018Tiada komen4 minit bacaan
 Laporan/Foto: Mohd Zahid Othman/Najib Mohaini (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 29 Okt (Malaysiaaktif) – Mengenang kembali peristiwa serangan hendap pengganas komunis pada tahun 1971 di Lundu, Sarawak, menyebabkan Ahmad Ibrahim, 72, tidak dapat menahan sebak.

Beliau yang pada mulanya enggan berkongsi cerita mengenai peristiwa tersebut, perlahan-perlahan menyingkap semula detik hitam yang mengorbankan lima orang sahabatnya ketika bertugas di Hospital Angkatan Tentera di Sarawak.

“Pada masa itu saya berkhidmat bersama Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) dan dalam perjalanan untuk mengambil bekalan ubat. Kami bertujuh menaiki sebuah kenderaan tentera apabila tiba-tiba kenderaan kami diserang hendap dengan tembakan bertubi-tubi oleh pengganas komunis.

Kerajaan Negeri, agensi-agensi kerajaan dan badan-badan korporat turut memberi sumbangan kepada Tabung Pahlawan Negeri Johor sempena pelancarannya

Kerajaan Negeri, agensi-agensi kerajaan dan badan-badan korporat turut memberi sumbangan kepada Tabung Pahlawan Negeri Johor sempena pelancarannya

Saya duduk di bahagian penumpang bersama pemandu dan lima orang lagi rakan saya di belakang. Lima orang daripada mereka terkorban termasuk pemandu kenderaan. Saya dan seorang lagi rakan terselamat dan mengalami kecederaan di bahagian kiri kaki,” jelasnya sambil mengesat air mata di pipi.

Ahmad yang berpangkat Sarjan dan telah bersara daripada Tentera pada tahun 1985, merupakan salah seorang daripada 10 orang golongan Veteran Kurang Upaya (VKU) yang menerima sumbangan sempena Majlis Sambutan Hari Pahlawan dan Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan Peringkat Negeri Johor 2018 baru-baru ini.

Selain menyatakan kesyukuran terhadap sumbangan yang diterima, beliau juga berharap agar lebih ramai lagi anak muda di negara ini dapat menyertai pasukan keselamatan seperti tentera atau polis kerana berasa yakin kerjaya tersebut kini mempunyai jaminan masa hadapan yang lebih baik.

Rajandran A/L S.Ramasamy, cedera dan kaki kiri dipotong paras lutut akibat terkena jerangkap samar pengganas komunis semasa operasi khas di Batang Kali, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada tahun 1986

Rajandran A/L S.Ramasamy, cedera dan kaki kiri dipotong paras lutut akibat terkena jerangkap samar pengganas komunis semasa operasi khas di Batang Kali, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada tahun 1986

Seorang lagi penerima, Rajandran A/L S.Ramasamy, 60, turut menjadi mangsa kecederaan pada zaman keganasan komunis.

“Pada tahun 1986, saya telah dipanggil untuk mengetuai satu operasi khas menentang komunis yang ketika itu sedang menggugat satu perkampungan penduduk di Batang Kali Kuala Kubu Bharu, Selangor. Ketika itu, saya berkhidmat di Unit Anjing Perang yang berpengkalan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor.

Ketika pertempuran, pasukan kami berjaya menumpaskan empat daripada 14 orang komunis sementara bakinya telah melarikan diri ke pengkalan mereka. Semasa membuat pemeriksaan di pengkalan tersebut, saya telah terpijak sebuah bom jerangkap samar yang mengakibatkan kaki kiri saya hancur sehingga paras lutut,” ujarnya dan turut berharap agar pihak kerajaan dapat menimbangkan kenaikan gaji pencen pesara Tentera yang telah lama berkhidmat.

Osman beramah mesra sempena Majlis Sambutan Hari Pahlawan

Osman beramah mesra sempena Majlis Sambutan Hari Pahlawan

Pada masa sama, Kempen Tabung Pahlawan Peringkat Negeri Johor yang telah dilancarkan ini juga bertujuan untuk memberi bantuan kepada anggota yang bersara atau menamatkan perkhidmatan dari Angkatan Tentera bagi mengharungi kehidupan.

Menurut Yang DiPertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Johor, Ibrahim Yahya, sebahagian dari mereka juga mengalami kecacatan ketika bertugas seperti buta mata dan putus kaki akibat terkena jerangkap samar pihak musuh.

Beliau menambah, “Tabung Pahlawan diwujudkan untuk menerima sumbangan dari agensi kerajaan, badan korporat atau semua lapisan masyarakat. Sebagai warga yang prihatin, marilah kita sama-sama menghulurkan sumbangan kepada Tabung Pahlawan ini,”.

Hasil sumbangan dari Tabung Pahlawan ini akan disalurkan kepada Veteran ATM dan tanggungan mereka yang sangat memerlukan - Ibrahim Yahya

Hasil sumbangan dari Tabung Pahlawan ini akan disalurkan kepada Veteran ATM dan tanggungan mereka yang sangat memerlukan – Ibrahim Yahya

Pada majlis ini, sumbangan terkumpul sebanyak RM220 ribu telah diterima dari pelbagai agensi kerajaan dan badan korporat yang dijemput hadir meraikan Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Johor 2018 yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, di sini, kelmarin.

Osman berkata, kempen dan sambutan ini juga merupakan landasan terbaik untuk rakyat pelbagai generasi menyelami semangat juang dan jasa mereka yang telah terkorban demi negara.

“Jadikanlah mereka sebagai teladan dalam membentengi diri daripada cabaran dan anasir luar, contohilah semangat patriotik dan kegigihan mereka dalam memperjuangkan maruah bangsa dan sekeping tanah yang bernama Malaysia,” beliau berucap semasa merasmikan majlis tersebut.

Beliau turut mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM50 ribu kepada bantuan geran tahunan berjumlah RM100 ribu kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Johor dan menyatakan bahawa dengan sokongan Kerajaan Negeri, beliau yakin Tabung Pahlawan Negeri Johor mampu mengutip sumbangan lebih RM500 ribu pada tahun ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk A. Rahim Nin; Pegawai Daerah Johor Bahru, Mohammed Ridha Abd. Kadir; Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Laksamana Tan Sri Datuk Setia Mohd Anwar Mohd Noor (Bersara); Panglima 7 Briged, Brigadier General Datuk Mohd Hassan Loman dan Ketua Polis Negeri Johor, CP Datuk Mohd Khalil Khadir Mohd.

EM

Tinggalkan komen anda