Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurPutrajaya

Cuti Pasukan Keselamatan Dibekukan Bagi Menghadapi Banjir

By 31 Oktober 2018Mei 7th, 2019Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Cuti untuk semua anggota pasukan keselamatan dibekukan serta-merta sehingga Disember ini bagi menghadapi kemungkinan banjir berikutan ketibaan musim monsun timur laut yang bermula sejak tiga hari lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, arahan tersebut dibuat berdasarkan pembentangan Jabatan Meteorologi Malaysia, Monsun Timur Laut telah pun bermula pada 27 Oktober 2018 dan dijangka berlarutan hingga Mac 2019.

Katanya, daripada jumlah anggota pasukan keselamatan yang terlibat seramai 31,531 adalah dari pasukan Polis Diraja Malaysia.

“Amaran hujan lebat berterusan peringkat waspada (kuning) pada 29 Oktober hingga 1 November telah pun dikeluarkan bagi negeri Kelantan dan Terengganu pada 27 Oktober. Pada hari sama pusat kawalan bencana negara telah mengeluarkan notis kesiapsiagaan kepada agensi-agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat di Bangunan Perdana Putra Putrajaya di sini hari ini.

Wan Azizah berkata, Pos Kawalan Tempat Kejadian dan Pos Kawalan Operasi Bencana serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diarahkan untuk menyusun pusat pemindahan banjir yang kini berjumlah 5,448 bagi menampung kapasiti seramai 1.65 juta mangsa.

“Beberapa peruntukan bagi perbelanjaan sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Perbelanjaan Operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang melibatkan keseluruhan peruntukan RM1.77 juta telah diluluskan dalam proses pengagihan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan supaya lima depoh simpanan dan 165 stor bencana juga perlu disediakan dan membuat penambahan stok bekalan keperluan.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga hendaklah mengatur gerak kesiapsiagaan untuk memindahkan haiwan ternakan semasa banjir,” jelasnya. – K! ONLINE / foto: FMT

-ER

Tinggalkan komen anda