Tiada Larangan Operasi Lion Air Di Malaysia – Anthony Loke

MELAKA, 20 April -- Penumpang dari Medan Indonesia menaiki pesawat milik anak syarikat penerbangan Lion Group Indonesia Wings Air tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam hari ini. Pesawat ATR 72-500 yang membawa 30 penumpang itu berlepas dari Medan Indonesia kira-kira 4.45 petang waktu tempatan itu tiba di LTAM pada 6.30 petang tadi. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Tiada larangan atau penangguhan operasi perkhidmatan penerbangan Lion Air di Malaysia ekoran nahas melibatkan pesawat syarikat berkenaan di Indonesia pada Isnin, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata pihak berkuasa penerbangan Malaysia sedar bahawa Lion Air pernah dilarang terbang ke Kesatuan Eropah namun perkara itu sudah diselesaikan dengan pihak berkuasa terlibat.

“Tidak boleh buat kesimpulan sebegitu untuk Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika ditanya sama ada terdapat cadangan untuk mengharamkan penerbangan Lion Air di Malaysia ekoran nahas itu.

Loke yang ditemui selepas sesi engagement National Shipping and Port Council di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini berkata operasi penerbangan Lion Air di Malaysia mematuhi semua piawaian dan peraturan yang ditetapkan.

Lion Air yang beribu pejabat di Indonesia mengendalikan penerbangan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Jakarta dan Surabaya bagi operasi di Malaysia.

Menurut laporan media, Lion Air dilarang dari beroperasi di negara anggota Kesatuan Eropah dari 2007 hingga 2016.

Penerbangan Lion Air JT610 Jakarta-Pangkal Pinang yang membawa seramai 181 penumpang dan lapan anak kapal itu terhempas di perairan Tanjung Karawang, Jawa Barat tidak lama setelah berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada pukul 6.20 pagi Isnin.

Loke berkata Malaysia akan melihat secara terperinci hasil siasatan pihak berkuasa Indonesia berhubung nahas udara itu untuk mengambil iktibar dan mengambil langkah berjaga-jaga. – Bernama

-ER
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...