Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurPutrajaya

Lebih 800 Laman Web Disekat – Eddin Syazlee

By 1 November 2018Tiada komen2 minit bacaan

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Malaysiaaktif)  –  Kerajaan menyekat 881 laman sesawang antara 2016 hingga September lalu, selepas dikesan mempunyai unsur penipuan. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, berkata ia dilakukan menerusi kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sepanjang tempoh itu.

Beliau berkata, sekatan berkenaan dibuat bagi membendung kes penipuan seperti ‘Love Scam’, ‘Macau Scam’ dan sebagainya.  “Pasukan ini diwujudkan untuk memperkasa penyelarasan bagi membolehkan gerak kerja pantas dalam menangani dan membanteras masalah penipuan.

“Selain itu, pasukan terbabit turut beroperasi dengan kerjasama penyedia telekomunikasi dan pihak bank di Malaysia,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) di Dewan Rakyat hari ini.

Menyentuh isu berasingan, Eddin berkata, usaha meningkatkan kelajuan jalur lebar dilaksanakan secara berperingkat, bermula di kawasan ekonomi berimpak tinggi dan bandar utama. “Sasaran kerajaan menjelang 2020 ialah memastikan kelajuan jalur lebar mencapai sekurang-kurangnya 100Mbps di kawasan bandar dan 20Mbps di kawasan luar bandar.

“Kita juga mahu meningkatkan kadar liputan jalur lebar mudah alih dan kadar penembusan jalur lebar negara,” katanya.

Dalam pada itu, Eddin berkata, kebebasan media tanpa mengira kecenderungan mana-mana parti politik berupaya mencorak pemikiran masyarakat yang lebih matang. Beliau berkata, kementerian turut membuka ruang perdebatan di televisyen bagi mengupas isu semasa bagi membolehkan masyarakat mendapat maklumat dan kefahaman lebih jelas.

“Dari segi kementerian, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memberi layanan seimbang kepada semua pihak berdasarkan nilai berita. “Aspek membabitkan kepentingan rakyat dan minat khalayak menjadi keutamaan, maka kita memastikan RTM membuat laporan telus tanpa mengira parti kerajaan atau pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan komited dalam menjamin kebebasan media untuk melaporkan berita, termasuk membuat kritikan terhadap kerajaan. – BH online/foto: Finas

-ER

Tinggalkan komen anda