Rezeki Gubahan Bunga Majlis Graduasi

IMG-20181117-WA0018

 

 Laporan/foto: Fasharina Kholil/Sharul Effandi Yusof (Sik)

SIK, 17 Nov (Malaysiaaktif) – Menjadi trend masa kini penganjuran majlis graduasi di sekolah-sekolah bertujuan memberi pengiktirafan kepada pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang berada di sekolah. Lazimnya majlis graduasi akan diadakan pada hujung tahun.

Namun begitu, bukan saja majlis graduasi ataupun konvokesyen yang menjadi trend bahkan pemberian gubahan bunga coklat juga turut menjadi ikutan.

Pengusaha gubahan bunga coklat, Raziah Ramli berkata, permintaan untuk gubahan ini akan meningkat apabila tiba musim graduasi dan konvokesyen di sekolah-sekolah.

Menceritakan detik awal pembabitannya dalam bidang ini, Raziah berkata, dia tidak menyangka gambar gubahan bunga coklat untuk rakannya yang dimuat naik di laman sosial Facebook mendapat respon dan pujian ramai.

“Bermula daripada itu, tercetus idea untuk menjalankan perniagaan ini bagi menambah sumber pendapatan tambahan pula saya seorang surirumah dan dapat juga mengisi masa yang terluang,” ujarnya yang ditemui  ketika Majlis Ihtifal dan Konvokesyen Darul Quran Wa At Tarbiah Al Munir, Kg. Namek, di sini pagi tadi.

Raziah bersama-sama hasil gubahannya sempena majlis graduasi Darul Quran Wa At Tarbiah Al Munir, Kg. Namek, di sini.

Raziah bersama-sama hasil gubahannya sempena majlis graduasi Darul Quran Wa At Tarbiah Al Munir, Kg. Namek, di sini.

Raziah yang berasal dari Kuala Pegang, Baling menambah selain menerima tempahan secara atas talian, dia dan suami turut membuka tapak di sekolah-sekolah bagi memeriahkan hari graduasi dengan kebenaran pihak sekolah terlebih dulu.

“Kanak-kanak pastinya lebih seronok apabila menerima hadiah daripada ibu bapa dan tentunya kami berpuas hati dan seronok apabila dapat menggembirakan hati ramai individu terutamanya penerima hadiah.

“Selain daripada untuk majlis graduasi, kami turut menerima tempahan gubahan bunga coklat untuk majlis hari lahir, ulang tahun serta kejutan dengan harga yang berpatutan dan mampu milik,” ujar ibu kepada dua orang cahaya mata ini.

Selain itu, harga yang ditawarkan  juga berpatutan iaitu di antara RM10 hingga RM50 bergantung kepada permintaan pelanggan.

Menurutnya lagi, bagi mencantikkan dan mempelbagaikan gubahan, dia banyak mencari idea terkini melalui internet serta laman web berkaitan.

Kanak-kanak antara individu yang paling gemar apabila menerima hadiah ini.

Kanak-kanak antara individu yang paling gemar apabila menerima hadiah ini.

Raziah turut melahirkan rasa syukur kerana suami dan keluarga banyak memberi sokongan dan bantuan dalam menjalankan perniagaan ini.

“Tidak dinafikan teknologi terkini serta kemudahan laman sosial seperti Facebook, Instagram serta aplikasi Whatsapp banyak membantu surirumah seperti saya untuk menjana pendapatan sampingan.

“Perkhidmatan ini semakin banyak persaingan namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berusaha dalam bidang ini terutamanya dengan memperbaiki setiap kelemahan dan kekurangan,” jelasnya mengakhiri perbualan.

-SH
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...