Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Belanjawan Selangor 2019 Merancakkan Ekonomi, Memberdayakan Rakyat Dan Mensejahterakan Negeri

By 26 November 2018Tiada komen2 minit bacaan
Laporan & Foto Oleh : Mohamad Zairin Mohamad Zin & Abdul Raof Othman (Selangor)

SHAH ALAM, 26 November (Malaysiaaktif) – Belanjawan yang dibentangkan kali ini adalah bertemakan, Merancakkan Ekonomi, Memberdayakan Rakyat, dan Mensejahterakan Negeri dan disusun bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri Selangor di samping melaksanakan polisi dari pemberian kepada pemberdayaan dan mensejahterakan rakyat dan negeri kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari semasa sidang media selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2019 bertempat di Bangunan Annex, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam kelmarin.

“Antara yang menjadi fokus utama pentadbiran dalam Belanjawan tahun hadapan ialah polisi Klusterisasi ataupun Gugusan Ekonomi negeri Selangor. Polisi Klusterisasi ini bertujuan untuk ‘unleash and unlock’ potensi-potensi di setiap gugusan negeri Selangor”, ujar Amirudin lagi.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri akan memberi suntikan berbentuk projek infrastruktur, program mesra pelabur dan lain-lain lagi untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi setempat, sosioekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan kepada komuniti terbabit.

“Program Klusterisasi ini adalah antara dapatan dari Jelajah Maju Bersama yang telah dilaksanakan oleh pentadbiran ini. Antara gugusan yang menarik perhatian ialah Gugusan Utara Selangor yang kaya dengan potensi Eco-Tourism (Pelancongan) dan Gugusan Selatan Selangor (Pendidikan)” kata Amirudin.

Menurut beliau lagi, “fokus kedua Belanjawan ini ialah dari pemberian kepada pemberdayaan. Negeri Selangor terkenal dengan program-program pemberian dan inisiatif peduli rakyat. Program-program ini akan diteruskan dan akan diperkukuhkan dengan ciri-ciri pemberdayaan”.

“Selain itu, kerajaan negeri turut mencadangkan Program Rumah Idaman Selangor dimana rumah yang akan dibina bukan sahaja akan dilengkapi dengan peralatan dan perabot yang lengkap, berkeluasan selesa 1000 kaki persegi malah disertai dengan program pembiayaan Rent To Own (RTO) hasil usahasama dengan Maybank dan Dana yang diperuntukkan adalah RM 1 billion di mana penyewa akan membayar harga sewa yang berpatutan selain 20 peratus duit sewa akan diperuntukkan untuk simpanan penyewa”, tambah beliau lagi.

Tambah Amirudin lagi, harga rumah juga telah ditetapkan untuk 10 tahun dari harga asal. Usaha sama ini adalah yang pertama di Malaysia dan Kerajaan Negeri Selangor terus menerajui usaha menyediakan rumah mampu milik dan menyelesaikan isu ‘financing’.

Pembentangan Belanjawan Selangor kali ini telah menggariskan 5 strategi utama iaitu pertama, memacu pembangunan ekonomi negeri; kedua, penjajaran inisiatif peduli rakyat : dari pemberian kepada pemberdayaan; ketiga, agenda pencerahan Selangor dan pembangunan seni budaya; keempat, melestarikan alam sekitar; dan kelima, rakyat bahagia negeri sejahtera.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda