Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuan

158 Operasi, 1516 Orang Diperiksa Pada 2018 – Imigresen Labuan

By 3 Disember 2018Tiada komen2 minit bacaan
Laporan dan foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian

LABUAN, 3 Dis (Malaysiaaktif) – Sebanyak 158 gerakan operasi dan seramai 1516 orang diperiksa Jabatan Imigresen Labuan bagi sepanjang tahun 2018.

Menurut Pengarahnya, Asani Ladjani, menerusi usaha itu sebanyak 130 tangkapan dibuat selain menerima 322 orang serahan dari Agensi lain dan 90 orang telah didakwa serta 362 orang dipindah ke Pusat Tahanan Sementara di Kimanis, Sabah.

” Pada tahun 2018 juga Jabatan memeriksa ketibaan dan berlepas penumpang di Lapangan Terbang Labuan seramai 328,633 orang.

” Dari jumlah tersebut 11 tangkapan dibuat atas kesalahan imigresen dan 6 tangkapan untuk dirujuk ke agensi lain.

” Manakala kawalan pintu masuk laut, jabatan ini memeriksa seramai 61939 di Terminal Feri dan Feri Kenderaan sementara seramai 64,742 orang diperiksa bagi laluan feri ke Brunei,”katanya.

Asani bergambar kenangan bersama ketua-ketua jabatan dan para pesara Jabatan Imigresen

Asani bergambar kenangan bersama ketua-ketua jabatan dan para pesara Jabatan Imigresen

Tambahnya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sentiasa menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan disamping kesiapsiagaan semua warga kerja disegenap lapisan.

” Pengurusan perkhidmatan imigresen bertaraf dunia menjelang 2020 menjadi visi jabatan dan menjadi tunggak untuk setiap pegawai memberikan perkhidmatan kaunter berkualiti sehingga kita menerima beberapa maklum balas ucapan penghargaan.

” Selaras dengan misi jabatan, Imigresen Labuan mencapai beberapa kejayaan besar antaranya memperketat dan menaik taraf sistem pemeriksaan penumpang yang berlepas serta tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Labuan,”katanya pada Majlis Sambutan Hari Imigresen 2018 Peringkat W.P Labuan, pagi tadi.

Asani (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pesara Jabatan Imigresen

Asani (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pesara Jabatan Imigresen

Pada majlis itu Asani turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua agensi kerajaan dan pihak media atas segala sokongan yang menaikkan nama JIM khasnya Jabatan Imigresen W.P Labuan.

Sambutan yang dijalankan pada 1 Disember setiap tahun itu juga katanya bertujuan menghargai khidmat dan jasa semua kakitangan yang masih bertugas serta para pesara imigresen.

-ER

Tinggalkan komen anda