McDonald Sumbang RM1.1 juta

WhatsApp Image 2018-12-04 at 15.13.22

 

 Laporan/foto: Norulhuda Mohd (Kota Setar)

ALOR SETAR, 4 Dis (Malaysiaaktif) – McDonald’s Malaysia mendekati masyarakat di utara tanah air dengan menyumbang lebih RM1.1 juta kepada golongan kurang berkemampuan di Kedah.

Sumbangan sebanyak RM1,125,000.00 daripada francais makanan segera itu melibatkan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan kurang berkemampuan dan miskin tegar di Kedah sempena program tanggung jawab sosial korporat (CSR), hari ini.

Inisiatif-inisiatif yang diumumkan termasuklah sumbangan zakat, pelantikan individu daripada golongan asnaf ke Program Perantisan McDonald’s dan penyerahan pek kembali ke sekolah kepada 1,250 pelajar sekolah rendah daripada keluarga miskin di Kedah untuk persiapan sesi persekolahan 2019.

Ismail ketika berucap merasmikan majlis di sebuah pusat membeli belah, di sini hari ini.

Ismail ketika berucap merasmikan majlis di sebuah pusat membeli belah, di sini hari ini.

Program dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Datuk Dr. Ismail Salleh, yang mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

“Kami amat mengalu-alukan program seperti ini yang memberi manfaat dalam kehidupan masyarakat di sini dan ia merupakan usaha murni yang wajar dipuji. Program CSR yang dianjurkan ini merupakan contoh bagaimana syarikat-syarikat swasta boleh bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat.

“Usaha mendekati rakyat bagi menangani isi-isu yang dihadapi oleh golongan kurang bernasib baik adalah lebih berkesan apabila pihak kerajaan, syarikat perniagaan dan masyarakat saling bekerjasama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, McDonald’s turut menjalankan program perintis Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) yang menyediakan peluang kepada belia daripada golongan asnaf mengikuti program latihan berkaitan pengurusan selama 18 bulan juga diberi elaun bulanan sebanyak RM1,200.00, faedah perubatan dan insurans, serta makanan percuma.

Sebahagian daripada 1,250 pelajar sekolah rendah daripada keluarga miskin di Kedah ceria menerima bantuan pek sekolah dari McDonald's Malaysia.

Sebahagian daripada 1,250 pelajar sekolah rendah daripada keluarga miskin di Kedah ceria menerima bantuan pek sekolah dari McDonald’s Malaysia.

“Hari ini lapan orang belia telah menerima surat lantikan untuk menyertai SLDN bagi membolehkan mereka mendapat latihan dalam industri di McDonald’s Malaysia dan selepas menamatkan program tersebut, mereka layak untuk bekerja di mana-mana restoran McDonald’s di seluruh negara,” ujar Azmir.

McDonald’s Malaysia di bawah pemilikan baharu Kumpulan Reza telah memenuhi kewajipan zakatnya sejak tahun lalu, kerana ia merupakan entiti perniagaan 100% dimiliki oleh umat Islam.

“Kumpulan Reza adalah syarikat yang memiliki dan mengurus kesemua cawangan McDonald’s di wilayah barat dan selatan Arab Saudi secara eksklusif sejak 20 tahun lalu, Zakat adalah kaedah untuk mengurangkan kemiskinan dan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sebagai umat Islam,” tambahnya.

Program ini merupakan program tahunan yang dilaksanakan oleh McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

-SH
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...