Pendeposit Tabung Haji Diberi Jaminan Simpanan mereka selamat

47250074_10156431150413884_5912767715604430848_n

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Malaysiaaktif) – Pengarah Urusan Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung (TH) Datuk Seri Zukri Samat hari ini memberi jaminan kepada semua pendeposit bahawa simpanan mereka selamat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Bernama mengenai kesan laporan polis baru-baru ini terhadap bekas Pengerusi TH, bekas pegawai eksekutif dan kakitangan pengurusan kanan.

Beliau berkata laporan polis itu tidak memberi kesan kepada operasi TH.

“Perniagaan adalah seperti biasa bagi kami. Para pendeposit harus meletakkan kepercayaan bahawa Tabung Haji akan mempastikan simpanan mereka selamat,” katanya.

Jumaat lepas, TH telah membuat laporan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di sini melibatkan bekas pengerusi Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah dan kakitangan pengurusan kanan.

Kakitangan kanan itu ialah Datuk Adi Azuan (Ketua Pegawai Operasi) dan Datuk Rozaida Omar (Ketua Pegawai Kewangan), Hazlina Mohd Khalid (Penasihat Undang-Undang) dan Rifina Md Ariff (Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Korporat dan Harta Tanah).

Laporan pertama melibatkan program Yayasan Tabung Haji (YTH) pada 2017, di mana dana berjumlah lebih daripada RM22.0 juta telah dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik. Ini bertentangan dengan Memorandum dan Artikel Persatuan YTH.

Para pemegang amanah YTH pada masa itu ialah Abdul Azeez, Ismee, Johan, Adi dan Rozaida.

YTH ditubuhkan pada tahun 2016 untuk melaksanakan antara lain, bantuan kemanusiaan dan untuk menyumbang kepada yang kurang mampu, golongan miskin dan yang memerlukan. TH menyumbang RM7.0 juta kepada program tersebut.

Laporan kedua terhadap Ismee, Hazlina dan Rifina berhubung dengan salah nyataan dan pemotongan maklumat penting yang melibatkan jualan 95 peratus saham PT TH Indo Plantations pada tahun 2012 yang dipegang oleh dua anak syarikatnya iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) dengan harga AS$ 910 juta.

PT TH Indo Plantations memiliki ladang kelapa sawit seluas 83,000 hektar di Indonesia.

Laporan yang dibuat pada hari Jumaat lepas adalah penyiasatan dalaman yang pertama dalam transaksi masa lalu, yang diterajui oleh pengurusan baharu, sejak Julai 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa semalam mengeluarkan kenyataan yang mengulangi bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sesiapa yang terlibat dalam penggelapan wang pendeposit TH. — BERNAMA

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...