Keunikan Ulat Mulong, Hingga Cecah RM50 Ringgit Sekilo

d9c25e0d-e639-4e48-9e06-b55ed1531c18
Laporan/foto: Robin Junang / Florence Sebastian Unting (Sarawak)

SARATOK, 5 Dis (Malaysiaaktif) – Ulat mulong atau, si’et (Melanau), sikot (Bidayuh) dan tinduh (Iban) semakin digemari oleh penduduk tempatan dan harga makanan eksotik ini telah naik dengan  mendadak daripada RM15 kepada RM50 sekilo, ulat mulong yang bersaiz sebesar ibu jari boleh mencecah satu ringgit seekor, Penjual atau peraih ulat mulong boleh mencapai keuntungan besar jika mereka menjualnya pada hujung minggu dengan harga yang lebih tinggi dan masih juga mendapat permintaan ramai.

Dari mana datangnya ulat mulong ini dan bagaimana ia terbentuk? Ulat mulong ini diperolehi daripada batang pokok mulong dan pokok pantu. Ulat ini dihasilkan oleh induk kumbang (buyun balau – Melanau) yang membiak menghasilkan larva di dalam batang mulong separa reput. Pembiakan larva menjadi ulat dewasa yang boleh dimakan mengambil masa 30 – 40 hari bergantung kepada cuaca jika cuaca lembab maka cepatlah ulat membesar.

Ulat mulong dari tunggul rumbia

Ulat mulong dari tunggul rumbia

Ulat ini membiak di pokok mulong, pokok palma seperti pantu dan akan mempunyai rasa yang berbeza bergantung kepada jenis pokok ulat tersebut membiak. Bagi ulat yang hidup di pokok rumbia, rasa dan saiz ulat adalah berbeza mengikut bahagian pada batang pokok tersebut.

Mereka yang sudah mahir mengenali bentuk dan warna ulat pasti tahu dari bahagian mana ia diperolehi. Ulat mulong dari bahagian tunggul rumbia adalah yang paling enak, berbentuk kekuningan, bersaiz besar dan dipercayai mempunyai banyak protein. Ulat mulong yang didapati dari pokok mulong pra matang kurang enak berbanding dengan pokok yang telah cukup matang. Faktor ini disebabkan oleh kadar  karbohidrat dan dekstrosa lebih tinggi di dalam pokok mulong matang.

Bagi mendapatkan ulat mulong ini, pokok mulong hendaklah ditebang dan dibiarkan separa reput. Setelah dibiarkan beberapa hari, induk kumbang akan bersarang dan  membiak pada seluruh isi batang rumbia. Ia kelihatan seperti ulat atau beluncas yang berwarna putih kekuningan, berbadan montok, lembut dengan kepalanya hitam keperangan.

Ulat mulong enak dinikmati dalam pelbagai jenis resipi mengikut citarasa seseorang. Antara masakan ulat mulong yang popular ialah  goreng kicap bercili, salai, pangggang dan masak sup. Malah ada yang memakannya secara mentah dengan mencicah garam sahaja. Orang Melanau biasanya memakannya secara mentah bersama dengan sagu biji.

Ulat mulong dimasak secara goreng basah

Ulat mulong dimasak secara goreng basah

Ulat mulong mempunyai sumber protein yang tinggi khasiatnya. Sekiranya diamalkan secara konsisten ia boleh mencantikkan kulit menjadi lebih gebu dan cerah. Manakala, minyak dari ulat mulong ini dipercayai boleh membantu melebatkan rambut terutamanya peringkat bayi.

Walaupun rupanya agak menggelikan bagi sesetengah orang namun ulat mulong ini dianggap sebagai makanan eksotik berkhasiat tinggi di samping memberi  pendapatan lumayan. Ia merupakan makanan eksotik yang boleh menjadi eksklusif jika dikomersialkan ke peringkat antarabangsa.

-ER
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...