Skip to main content
HomeJohor

Nama Bugis Tapi Jawa

By 5 Disember 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Mazlin Basir/Norhasliza Hamzah & Najib Mohaini (Johor)

MUAR, 5 Dis (Malaysiaaktif) – Lawatan wartawan Malaysiaaktif ke rumah Mesri Selamat dan isteri, Mashilah Morsid sempena Program Pewaris Muda Peringkat Kebangsaan 2018 dalam temubual sejarah Kampung Parit Bugis, Muar menemui fakta yang menarik mengenai Kampung Parit Bugis, Muar.

Sangkaan terhadap kampung ini yang hanya didiami oleh orang Bugis kerana namanya ternyata tidak tepat kerana menurut Mesri, Kampung Parit Bugis sebenarnya didiami oleh masyarakat Jawa.

Menurut Pengerusi Muafakat Komuniti Malaysia Mukim Sg Balang, Saifudin Mohd Kadak, perkampungan ini dibuka pada tahun 1909 oleh orang Bugis diketuai oleh Daeng Saribut dan Daeng Abu Bakar dengan penanaman getah. Namun begitu, selepas lima tahun masyarakat Bugis meninggalkan kampung ini kerana tanah gambut di kawasan ini tidak sesuai bagi penanaman getah.

Ucapan Pengerusi Muafakat Komuniti Malaysia Mukim Sg Balang, Saifudin Mohd Kadak

Ucapan Pengerusi Muafakat Komuniti Malaysia Mukim Sg Balang, Saifudin Mohd Kadak

“Diikuti pada 1913, masyarakat Jawa datang ke kawasan ini bagi mengusahakan tanaman kelapa yang lebih sesuai. Namun, masih  mengekalkan nama kampung sebagai Kampung Parit Bugis walaupun perkampungan ini dihuni oleh masyarakat Jawa,” jelas beliau dalam ucapanya sempena Majlis Perasmian Program Pewaris Muda Peringkat Kebangsaan 2018 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawan, Koperasi dan Ekonomi Negeri Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali di Kampung Parit Bugis, di sini semalam.

Dalam pada itu, Mesri dan Mashilah teruja dengan program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia sehingga sanggup menerima sembilan orang anak angkat daripada pelbagai negeri.

Menurut beliau walaupun telah menerima lebih dua ribu anak angkat namun anak angkat Program Pewaris Muda ini mempunyai sedikit kelainan berbanding dengan program sebelumnya kerana peserta-peserta program mempunyai penyusunan program yang telah diatur dengan pelbagai aktiviti melibatkan anak angkat dan keluarga angkat.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor, Kampus Segamat, Nur Qurratul Aini Abdul Razak, 20, yang berasal dari Kupang, Kedah merupakan salah seorang anak angkat Mesri dan Mashila berasa teruja dapat mengikuti program Pewaris Muda ini.

Mesri Selamat bersama anak-anak angkat

Mesri Selamat bersama anak-anak angkat

“Saya berasa sungguh bertuah kerana terpilih menyertai Program Pewaris Muda Negara kerana pertama kali mengikuti program sebegini melibatkan program anak angkat, khidmat sosial, program kerohanian dan paling mengembirakan saya, dapat bertemu peserta dari negeri-negeri lain,” ujarnya ketika ditemui selepas penyerahan anak angkat sempena program Pewaris Muda semalam.

Bagi tahun 2018, Jabatan Penerangan Malaysia telah berjaya mengumpul penyertaan seramai 160 peserta Institut Pengajian Tinggi (IPT) dari seluruh negara melibatkan 24 buah keluarga angkat bermula dari 7 hingga 10 November yang lalu.

Objektif utama program ini ialah membentuk peribadi peserta melalui aktiviti-aktiviti kesukarelawan seperti gotong-royong, membersihkan kawasan kampung, program keagamaan dan lain-lain bersama-sama penduduk Parit Bugis Muar ini.

EM

Tinggalkan komen anda