RUU Berkaitan Dana Politik Akan Dibentangkan Di Parlimen Tahun Depan

hanipa

 

PUTRAJAYA, 6 Dis (Malaysiaaktif) – Kerajaan dijangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan dana politik di Parlimen tahun depan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Mohamed Hanipa Maidin.

Mohamed Hanipa berkata RUU yang akan turut merangkumi dana Pilihan Raya itu akan dijadikan garis panduan dan penanda aras politik di negara ini.

“Kerajaan akan membentangkan RUU berkaitan dana politik di Parlimen mungkin pada tahun depan setelah kajian mengenai RUU itu dimuktamadkan dan semua isu dasar diselesaikan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff yang ingin tahu berkaitan reformasi undang-undang berkaitan dana pilihan raya.

Mohamed Hanipa berkata bagi merangka RUU itu, kerajaan turut melihat dan mengkaji undang-undang berkaitan politik negara lain.

“Setakat ini kajian telah dibuat terhadap undang-undang negara United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Jerman, Indonesia, Austria, Chile dan Mexico,” katanya. – BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...