Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

APMM P.Pinang Tahan Bot Nelayan Langgar Syarat Lesen

By 7 Disember 2018Tiada komen1 minit bacaan

 

PUTRAJAYA, 7 Dis (Malaysiaaktif) –  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 di 7.2 batu nautika Selatan Pulau Kendi, dekat sini semalam kerana melanggar syarat lesen.

Timbalan Pengarah (operasi) APMM Pulau Pinang Ahmad Faez Mat Ghani berkata bot peronda APMM yang sedang membuat rondaan di kawasan itu pada pukul 6.15 petang semalam menahan bot nelayan itu selepas mendapati ia melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan kurang 8 batu nautika dari pantai terdekat.

“Pemeriksaan terhadap bot nelayan itu mendapati terdapat seorang tekong dan dua awak-awak warga tempatan berusia 42 hingga 66 tahun serta terdapat satu pukat tunda dan 60 kilogram ikan baja serta 10 kilogram pelbagai jenis ikan.

“Bot itu dibawa ke Jeti Pasukan Marin Batu Uban untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1955,” katanya di sini hari ini.???????

Katanya APMM Pulau Pinang memandang serius tindakan bot nelayan itu yang menangkap ikan di luar zon yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia kerana ia akan memberi kesan kepada nelayan pantai dan jumlah ikan di laut.

“Pihak APMM Pulau Pinang akan meneruskan rondaan dan operasi dari semasa ke semasa dalam usaha membendung jenayah di lautan dan pencerobohan kawasan zon menangkap ikan oleh bot nelayan,” katanya.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan jenayah di lautan dan kecemasan boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda