Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Projek CAR Guna Jajaran Baru, Penduduk Tarik Nafas Lega

By 9 Disember 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 9 Dis (Malaysiaaktif) – Penduduk Kampung Baru Sungai Terentang, Rawang boleh menarik nafas lega apabila Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) kini menggunakan jajaran baru tanpa perlu melalui tanah kampung tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat memaklumkan projek yang dicadangkan sejak 13 tahun lalu merupakan projek rentis talian elektrik di bawah Tenaga Nasional Berhad (TNB) dibantah penduduk.

“Bantahan penduduk disebabkan jarak jajaran dengan rumah terlalu hampir dan faktor keselamatan kerana projek rentis talian bekalan elektrik itu 275 Kilo Volt (KV) berbanding 33KV sebelum ini.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 26 Oktober 2016 bersetuju supaya penarikan balik pengambilan tanah melibatkan 35 hak milik di bawah Seksyen 35 Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960),” katanya.

Jelas Wei Kiat, pengambil alihan bagi jajaran CAR 275KV selepas cadangan jajaran baru dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tarek ke PMU Chubadak diluluskan oleh kerajaan negeri pada 2014 dan TNB telah menggunakannya.

Salah satu menara bagi projek CAR di Kg Sungai Terentang yang akan dirobohkan dalam masa enam bulan.

Salah satu menara bagi projek CAR di Kg Sungai Terentang yang akan dirobohkan dalam masa enam bulan.

“Selaras dengan itu, Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 2017 telah membuat permohonan rasmi kepada Pejabat Tanah dan Daerah Gombak tahun lalu bagi penarikan balik tanah di bawah Seksyen 35 APT 1960,” jelas beliau.

ADUN Rawang, Chua Wei Kiat mengedarkan kalendar 2019 kepada penduduk Kg Baru Sungai Terentang, hari ini.

ADUN Rawang, Chua Wei Kiat mengedarkan kalendar 2019 kepada penduduk Kg Baru Sungai Terentang, hari ini.

Menurutnya lagi , jajaran baru nanti tidak akan menggunakan tanah Kampung Baru Sungai Terentang dan Kampung Melayu Batu 16 Rawang, sebaliknya akan melalui laluan Hutan Lipur Kanching.

Susulan itu katanya, lima buah menara yang telah siap dibina sewaktu awal projek ini akan dirobohkan dan kerja-kerja tersebut dijangka siap dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

“TNB memaklumkan pihaknya dalam proses menerbitkan tender bagi kerja perobohan menara dan struktur yang berkaitan di tapak Kampung Baru Sungai Terentang yang mengambil masa enam bulan dari sekarang.

“TNB juga mengesahkan jajaran 33KV di bawah izin lalu di kampung ketika zaman kerajaan British kepada Lembaga Lektrik Negara (LLN) sejak kampong tersebut wujud pada 1949 dibatalkan dan akan juga diroboh,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui semasa program mengedarkan Kalendar 2019 kepada orang ramai di Kampung Baru Sungai Terentang, di sini hari ini.

Tambah Wei Kiat lagi, isu projek CAR itu berlanjutan dalam tempoh yang panjang disebabkan terdapat perbezaan pentadbiran antara kerajaan negeri dan pusat sebelum PRU14.

“Saya yakin masalah itu mampu diselesaikan segera selepas perubahan kerajaan baharu, dan maklum balas terbaru yang diterima juga positif,’ jelasnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Baru Sungai Terentang, Yap Hong, 66, melahirkan rasa gembira kerana perjuangan penduduk kampong sejak lebih 13 tahun lalu, kini memihak kepada mereka.

“Kami bersatu membantah cadangan projek CAR tersebut kerana jajarannya menggunakan tanah penduduk dan juga boleh menjejaskan keselamatan.

“Saya mewakili hampir 4,000 penduduk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan wakil rakyat yang turut sama membantu agar jajaran tersebut dialih dan tidak melalui kampung ini,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda