Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Khairuddin Angkat Sumpah EXCO Selangor

By 10 Disember 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Selangor)

SHAH ALAM, 10 Dis (Malaysiaaktif) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman, dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang baru, mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Allahyarham Prof Dr Shahrudin Badaruddin.

Majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia diadakan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, di sini hari ini.

Mohd Khairuddin, 47, dilantik memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan, Pembangunan Generasi Muda dan Modal Insan yang sebelum ini digalas oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Presiden PKR dan Menteri Besar Selangor yang menaruh kepercayaan kepadanya sejak PRU14 sehingga dilantik sebagai EXCO.

“Terima kasih diatas pelantikan ini walaupun saya masih dianggap baru dalam parti, namun kepercayaan penuh diberikan kepada saya termasuk dilantik sebagai Timbalan Speaker sebelum ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyerahkan surat pelantikan sebagai EXCO kepada Mohd Khairuddin Othman di Istana Alam Shah, hari ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyerahkan surat pelantikan sebagai EXCO kepada Mohd Khairuddin Othman di Istana Alam Shah, hari ini.

“Saya berazam untuk menyambung kesinambungan yang ditinggalkan oleh Menteri Besar dan akan mengalas portfolio yang dipertanggungjawabkan ini,’ katanya.

Jelas Khairuddin, beliau mahu belia Selangor berperanan sebagai belia serta akan mendapatkan taklimat daripada pegawai belia dan sukan terlebih dahulu sebelum merancang dan melihat keperluan yang lain.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memaklumkan Khairuddin telah meletakkan jawatan Timbalan Speaker Jumaat lepas, dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan, Pembangunan Generasi Muda dan Modal Insan.

“Diharapkan dengan pelantikan ini akan memperkemaskan pentadbiran kerajaan negeri Selangor selepas ianya mendapat perkenan Sultan Selangor serta persetujuan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim,” jelasnya.

Menurut Amirudin, beliau akan terus memegang portfolio Agama dan pendidikan serta memaklumkan akan melantik Pembantu EXCO untuk melaksanakan tugas-tugas tersebut.

“Saya akan melantik satu atau dua orang sebagai Pembantu EXCO dalam masa terdekat ini khususnya bagi melaksanakan tugas institusi agama yang memerlukan turun padang dengan lebih kerap,” katanya.

Mengenai jawatan Timbalan Speaker yang ditinggalkan Khairuddin, beliau memaklumkan jawatan tersebut bakal diisi semasa pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bulan Mac tahun hadapan.

“Ikut tradisi jawatan tersebut akan diisi ADUN daripada PKR, namun saya perlu mendapat persetujuan dan konsesus pimpinan negeri dan pusat terlebih dahulu,” katanya.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda